KOTA BELUD: Polis akan mengambil tindakan terhadap beberapa pelajar disyaki terlibat pergaduhan dalam rakaman video yang tular di WhatsApp, sejak Selasa lepas.
Klip video yang tular sejak jam 7 malam itu dipercayai berlaku melibatkan pelajar di salah sebuah sekolah menengah di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya mendapati berlaku satu insiden pergaduhan seperti yang dipaparkan dalam video itu.
“Sehingga pagi hari ini, pihak polis belum menerima sebarang laporan daripada individu terlibat atau pihak sekolah.
“Pihak polis juga akan menyiasat sama ianya pergaduhan atau kes buli dalam kalangan pelajar,” katanya.
Menurut Shahrudin, pihak polis akan mengambil tindakan bersama pihak sekolah berkaitan.
“Saksi kejadian juga diminta menghubungi atau tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, Shahrudin memohon orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi berkaitan kes itu
Dalam klip berdurasi 12 saat itu, seorang pelajar menumbuk beberapa kali seseorang lelaki disyaki pelajar sekolah menengah sambil disaksikan sekumpulan pelajar lain.