KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berharap media termasuk penyiar kebangsaan RTM akan terus membantu menyampaikan maklumat dan agenda Kerajaan kepada rakyat, termasuk inisiatif pembangunan, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Media memainkan peranan penting khususnya RTM dalam menyampaikan agenda pembangunan Kerajaan ke seluruh pelusuk negeri, supaya rakyat tahu apa yang Kerajaan lakukan dan rancangan pembangunan mereka.
“Saya berharap RTM, sama ada melalui siaran radio atau televisyen, terus memberikan maklumat yang terkandung dalam hala tuju SMJ, apa yang telah dan sedang dilaksanakan. Kita mahu semua rakyat tahu apakah maklumat yang terkandung dalam SMJ ini.
“Agenda SMJ kini berada di landasan yang betul untuk membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri sejak ia dilancarkan pada Mac 2021. Kita telah menerima banyak pelaburan asing dan domestik, sejak dua tahun lalu,” katanya. Hajiji berkata, Kerajaan tidak pernah berhenti untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat dan negeri.
“Baru minggu ini, saya menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Linaco dan Sawit Kinabalu bagi pembinaan Loji Pemprosesan Kelapa Bersepadu bernilai RM200 juta di Langkon, Kota Marudu.
“Selain itu, Sabah juga telah merealisasikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaan dalam PSC Samarang dengan menandatangani perjanjian dengan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), pada Jumaat.
“Ini adalah salah satu usaha berterusan kami untuk memastikan lebih banyak pembangunan dibawa ke Sabah. Saya berasa teruja melihat usaha Kerajaan Negeri membawa kemajuan dan pembangunan kepada negeri ini dan rakyat telah menunjukkan kemajuan. Ini sebahagian daripada bukti yang boleh kita rasa dan banggakan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sabah Berselawat sempena Sambutan Hari RTM ke-77 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, 1 April lalu.
Mengenai Program Sabah Berselawat 2023, Hajij berkata program itu dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman tentang Islam.
Katanya, acara itu juga selaras dengan konsep Malaysia Madani yang bertujuan menyemai perpaduan yang memberi manfaat kepada pembangunan insaniah, ekonomi dan sosial.
Justeru, katanya, umat Islam seharusnya memanfaatkan upacara keagamaan seperti itu.
“Saya mahu agar lebih banyak lagi majlis selawat diadakan di negeri ini bagi menambah pengetahuan dan kefahaman tentang Islam.
“Program itu juga dapat menyuntik semangat dan memberi kekuatan kepada kita sebagai umat Islam dalam kehidupan seharian.
“Semoga acara ini menjadi acara tahunan yang diadakan oleh SABAHfm khususnya pada bulan Ramadan bagi menggalakkan lebih banyak acara keagamaan yang serupa diadakan dalam kalangan umat Islam.”