KINABATANGAN: Mahkamah Majistret di sini pada Rabu mengenakan denda RM7,000 kepada seorang pengarah syarikat pengedaran makanan dari Kulai, Johor kerana disabit kesalahan di bawah Akta Makanan 1983.
Majistret Mohd Azeem Mohd Ridzo menyampaikan keputusan itu selepas wakil iaitu ketua pegawai operasi syarikat itu mengaku kepada kesalahan tersebut.
Mengikut fakta kes, pada 11 Oktober 2022, Pegawai Diberi Kuasa di bawah Akta Makanan 1983 telah mengambil sampel produk Cherries Plum jenama Bao Dao yang dijual di sebuah pasaraya mini di Kinabatangan, untuk analisis kimia.
Sampel ini didapati mengandungi cyclamate iaitu bahan pemanis tanpa zat yang tidak dibenarkan seperti mana yang dinyatakan dalam jadual Ketujuh Belas Peraturan Peraturan Makanan 1985.
Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran, Shim Jik Kwang, yang menjalankan pendakwaan, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh demi kepentingan orang awam dan pembeli.
Tertuduh membayar denda tersebut.