Thu, 11 Jun 2026
Headlines:
Bekas jurutera air serah RM1.2 juta tunai kepada SPRM
Published on: Friday, April 14, 2023
Published on: Fri, Apr 14, 2023
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
Bekas jurutera air serah RM1.2 juta tunai kepada SPRM
Tam berkata selepas itu, dia menyerahkan wang tunai RM1.2 juta yang dirampas dari rumahnya kepada SPRM dan RM300,000 lagi yang dia minta kontraktor serahkan kepada SPRM.
Kota Kinabalu: Seorang bekas jurutera air memberitahu Mahkamah Sesyen pada Khamis bahawa dia menyerahkan wang tunai RM1.2 juta yang disimpan di rumahnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejurus selepas dia dibebaskan daripada tahanan reman, setelah sistem kutipan berpusat terbongkar pada 2016.

Tam Yin Foon, seorang jurutera air Kota Belud dari 2002 hingga 2007 dan jurutera air Keningau sejak 2007, memberitahu Hakim Abu Bakar Manat demikian dalam meneruskan keterangannya sebagai saksi ke-33 pihak pendakwaan, dalam perbicaraan dua bekas pegawai Jabatan Air Sabah dan isteri salah seorang mereka, yang didakwa melakukan pengubahan wang haram.

Advertisement
Tam berkata ketika itu dia merupakan jurutera air Keningau dan direman tujuh hari bilamana dia memberi keterangannya kepada SPRM.

Tam berkata selepas itu, dia menyerahkan wang tunai RM1.2 juta yang dirampas dari rumahnya kepada SPRM dan RM300,000 lagi yang dia minta kontraktor serahkan kepada SPRM.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Tam juga berkata, pada akhir tahanan remannya, SPRM memintanya mengeluarkan RM300,000 daripada akaun banknya dan menyerahkannya kepada mereka.

Tam mendakwa wang itu adalah wang miliknya sendiri sebagai harta pusaka arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2014, dan juga hasil sewa rumah, yang dia serahkan secara sukarela kerana menurutnya, ketika itu dia tidak tahu apa-apa.

Advertisement
Memberi keterangan lanjut, Tam berkata selepas dimaklumkan mengenai skim 10.75 peratus itu dalam mesyuarat jurutera air bahagian dan daerah pada 6 April 2005, dia bersetuju untuk menyertainya.

Tam berkata, dia bersetuju kerana menyedari tiada jurutera membantahnya dan kedua, dia khuatir jika tidak mengikut skim tersebut, kemungkinan bahagian Kota Belud-nya tidak akan mendapat peruntukan mencukupi untuk melaksanakan projek pembangunan bekalan air.

Advertisement
Dia menambah bahawa dia tidak dipaksa untuk menyertai skim itu.

“Selepas bersetuju untuk menyertai skim itu, saya kembali ke daerah saya dan memaklumkan kepada kontraktor mesra Jabatan Air, iaitu kira-kira empat orang, tentang skim itu dan mereka bersetuju untuk menyertainya,” kata Tam sambil menambah dia berpendapat kontraktor bersetuju kerana mereka tidak akan rugi dan sebaliknya mendapat untung.

Tam berkata dia tidak pernah membuat pengesahan dengan mana-mana individu tentang siapa mendapat faedah mengikut peratusan dalam skim itu kerana itulah yang Teo Chee Kong (yang merupakan jurutera air bahagian Kota Kinabalu ketika itu) katakan kepadanya dan dia hanya menerima apa yang Teo katakan.

Menjawab soalan kenapa dia memberikan purata jumlah wang tunai RM200,000-RM300,000 kepada Teo apabila menyerahkan wang komisen daripada skim itu, Tam menjelaskan ia supaya dia tidak perlu berulang-alik berjumpa Teo.

Tambah Tam, secara purata dia menyerahkan jumlah wang tersebut kepada Teo empat kali setahun ketika berkhidmat di bahagian Kota Belud dan Keningau.

Tam berkata, dia menyimpan wang komisen dalam nilai wang kertas RM100 dan RM50 dalam beg kurier dan memasukkan sekeping kertas dengan jumlah wang itu, sebelum menutup beg itu dan menyerahkannya kepada Teo.

Kepada soalan lain, Tam berkata terdapat perbezaan peruntukan yang diberikan kepada bahagiannya di Kota Belud dan Keningau ketika skim itu dilaksanakan, di mana dia mendapati terdapat pertambahan peruntukan dalam lingkungan 30-40 peratus.

Tambah Tam, tiada sebarang aduan daripada mana-mana pihak termasuk kontraktor berhubung skim 10.75 peratus itu sepanjang tempoh dia bekerja sebagai jurutera air di Kota Belud dan Keningau.

Menjawab soalan, Tam berkata dia menyimpan sebahagian besar wang yang diperoleh daripada skim itu dalam Standard Chartered Bank dari 2005 hingga 2016, tetapi dia tidak ingat jumlahnya.

Tam menambah dia menyimpan wang yang diperoleh daripada skim itu dalam akaun banknya untuk membayar pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan kad kredit, dan juga untuk perbelanjaan perjalanan.

Perbicaraan membabitkan bekas Pengarah Air Negeri Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib, 58, isterinya Fauziah Piut, 55, yang didakwa bersama bekas Timbalan Pengarah Air Negeri Lim Lam Beng, 66, atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta pemilikan barangan mewah yang menyalahi undang-undang.

Mereka telah, pada 29 Dis 2016, mengaku tidak bersalah kepada semua pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim hadir untuk pendakwaan.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Priskila Akwila Sinem dan Mohamed Fareeez Mohamed Salleh.

Lim diwakili oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh, Kelvin Wong dan Aaron Lau.

Perbicaraan bersambung.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here