Kota Kinabalu: Seorang warga asing dan seorang warga tempatan dibebaskan daripada tuduhan mengedar 50.42 gram syabu, tanpa memanggil pembelaan mereka.
Pesuruhjaya Kehakiman Amelati Parnell melepaskan dan membebaskan warga asing Munap Maulana dan warga tempatan Murphy Roger, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.
Dua tertuduh itu didakwa mengedar dadah tersebut pada jam 10.30 pagi 14 Jan 2021 di hadapan sebuah pondok di Kg Lok Buno di Sepangar, dekat sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu, membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati, dan sekurang-kurangnya 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil lima saksi semasa perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afiq Agoes manakala peguam Hamid Ismail mewakili Munap sementara peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain mewakili Murphy.
Dalam kes lain, dua lelaki masing-masing didenda RM1,500 atau penjara dua bulan kerana bermain judi haram.
Budiman Aloysius dan Hasrin Mahamud, kedua-duanya berumur 30 tahun, mengaku bersalah secara berasingan atas pertuduhan bermain judi itu pada 10.30 malam 18 Nov 2022 di Sulaman Sentral, dekat sini.
Mahkamah memerintahkan barang rampasan itu dilupuskan oleh polis, dan wang dirampas dilucuthakkan sebagai hasil kerajaan oleh pihak pendakwaan.