LUMADAN: Kebimbangan 17 ketua keluarga yang tinggal di tanah milik Sawit Kinabalu di Kampung Karangan selama 40 tahun terubat, apabila tanah itu secara rasminya diwartakan rizab perkampungan.
Berita gembira itu diumumkan Adun Lumadan, Datuk Ruslan Muharam pada Majlis Penyerahan Lot Sawit Kinabalu yang disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie di Kampung Karangan, di sini.
Wakil 17 ketua keluarga terlibat juga menyaksikan Bacho menyerahkan lot tanah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seluas 10 ekar itu kepada Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun untuk proses pewartaan rizab perkampungan.
Salah seorang penerima lot tanah, Adek Awang Mokti, 67, menyifatkan pemberian lot itu sebagai hadiah paling bermakna setelah hampir 40 tahun mendiami tanah berkenaan bersama arwah ibu dan bapa serta saudara lainnya.
Beliau juga merasa lega apabila tidak perlu lagi bimbang terpaksa berpindah jika permohonan mereka yang dibuat dua tahun lalu untuk menduduki tanah terbabit tidak diluluskan.
“Terima kasih kepada Sawit Kinabalu kerana amat prihatin dengan nasib kami dan sudah tentu saya gembira kerana pemberian lot tanah ini umpama ‘hadiah’ Aidilfitri buat kami semua,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Haslinda Buang, 33, turut berkongsi perasaan sama kerana sudah tinggal di atas tanah milik syarikat itu sejak lahir bersama ibu bapa hingga mempunyai seorang anak ketika ini.
Beliau juga menghargai peranan pihak yang berusaha merealisasikan impian mereka itu khususya Ruslan, Ketua Anak Negeri Lumadan dan Bacho.
“Saya amat bersyukur kerana segala kerisauan selama ini terubat dan kami sekeluarga amat menghargai peranan pihak-pihak yang merealisasikan impian kami ini,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Sementara itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, ia adalah hasil keprihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa komited dengan keperluan rakyat.
Beliau juga memuji usaha Sawit Kinabalu kerana turut mengambil berat terhadap perkara yang sudah berlangsung lama tanpa ada penyelesaian namun di bawah pentadbiran Bacho, semuanya isu itu selesai.
“Syukur kerajaan yang ada pada hari ini yang dipimpin beliau (Hajiji) mengambil pendekatan menyelesaikan isu rakyat selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ). Ini menunjukkan Ketua Menteri seorang yang prihatin dan peduli terhadap masalah rakyat,” katanya.
Sementara itu, Bacho turut memaklumkan selain penyerahan tanah Sawit Kinabalu di Kampung Karangan ini, pihaknya turut melakukan pendekatan sama di beberapa kawasan melibatkan keluasan 661 ekar milik syarikat itu.
Beliau berkata, syarikat itu telah menyerahkan tanah seluas 331 ekar kepada penduduk terlibat di Pitas untuk digazetkan sebagai perkampungan termasuk 130 ekar di Kota Marudu dan Semporna 200 ekar.
“Usaha murni ini dilihat akan memudahkan sebarang pengurusan Sawit Kinabalu dalam memperolehi pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dan SPO setelah isu-isu tanah berkaitan diselesaikan,” katanya.