PELAJAR Sabah digesa merebut segala peluang yang disediakan Kerajaan Negeri melalui pelbagai inisiatif untuk memperkasakan pembangunan modal insan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini kerana pembangunan modal insan merupakan antara aspek yang ditekankan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Justeru, beliau berkata Kumpulan Yayasan Sabah telah menawarkan pelbagai jenis biasiswa, seperti Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Pelajar Luar Bandar Cemerlang, Biasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta dan pinjaman pelajaran.
“Saya harap anda semua akan merebut pelbagai inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan. Berazam untuk berbakti kepada masyarakat kerana khidmat anda amat diperlukan untuk membangunkan Negeri tercinta,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 500 pelajar Sabah di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu pada 12 April lalu.
Ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai platform untuk pelajar menyuarakan pandangan termasuk melalui Persidangan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang julung kali diadakan pada Mei 2022.
“MPPS mengumpulkan pemimpin pelajar Sabah daripada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, IPG (Institut Pendidikan Guru), institut latihan dan Tingkatan Enam. Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (Semesta) sebagai pengiktirafan kepada golongan muda khususnya pelajar,” katanya.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri membelanjakan RM45 juta tahun lalu untuk menyediakan bantuan Budi bagi pendaftaran IPT, Bantuan Ihsan Komputer (Baik) dan bantuan kepada Semesta iaitu bantuan kewangan untuk persatuan dan kelab pelajar Sabah yang berdaftar.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM16.2 juta dalam Belanjawan Negeri tahun ini untuk melaksanakan program belia bagi melahirkan pemimpin berkualiti.
“Harapan kami agar dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik malah dalam masa yang sama mempunyai sahsiah yang baik,” katanya.