Tuaran: Polis menggesa saksi kepada pergaduhan sekumpulan kanak-kanak dan remaja di pekarangan Pusat Komersial Taman Telipok Ria di sini, 18 April lalu, untuk tampil membantu siasatan.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam itu, menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera akibat dipukul dan menerima 20 jahitan.
Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Noraidin Ag Maidin berkata, pihak polis menerima laporan daripada pengadu yang merupakan ibu mangsa pada jam 8 malam, 19 April lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati dua kumpulan terdiri kanak-kanak serta remaja dari Taman Telipok Ria dan Taman Tuaran Impian bergaduh akibat berpunca perbuatan saling mengejek.
“Mangsa yang kebetulan berada di lokasi turut dipukul menggunakan tali pinggang yang mempunyai objek besi.
“Akibat perbuatan itu, mangsa yang mengalami luka di bahagian pipi kanan dihantar ke Hospital Tuaran dan menerima 20 jahitan,” katanya.
Susulan laporan itu, dua kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun ditahan untuk soal siasat pada 20 April dan 25 April lalu.
“Siasatan juga mendapati pergaduhan berlaku secara rawak dan tidak melibatkan unsur ‘gangsterism’.
“Kami masih dalam usaha mengesan semua individu yang terlibat dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian, agar tampil membantu siasatan,” katanya.