Kota Kinabalu: Sabah merekodkan 76 kes pertussis atau batuk kokol yang amat berjangkit, dengan satu kematian, dalam tempoh Januari hingga Khamis lalu tahun ini.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ia menunjukkan peningkatan 986 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan hanya tujuh kes direkodkan.
“Satu kes kematian direkodkan sepanjang tempoh berkenaan dan 41 kes melibatkan warganegara, 27 Filipina dan lapan kes melibatkan warga Indonesia.
“Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 20 kes, diikuti Lahad Datu (16), Tawau (15), Putatan (8) dan masing-masing empat kes di Semporna dan Papar.
“Kunak dan Tambunan pula mencatatkan tiga kes manakala Sandakan, Kinabatangan serta Tuaran masing-masing merekodkan satu kes,” katanya kepada pemberita selepas sesi Townhall Kertas Putih Zon Negeri Sabah di sini, Jumaat.
Beliau berkata pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria iaitu Bordetella pertussis.
“Kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung serta tekak. Ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia, namun bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.
“Lazimnya mereka yang dijangkiti akan mengalami batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu. Ia boleh berlarutan hingga dua bulan. Batuk yang teruk dan berpanjangan ini menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas dan keadaan ini boleh mengakibatkan sawan kerana bekalan oksigen ke otak berkurangan,” katanya.
Dr Zaliha berkata sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mempertingkatkan pemantauan dan pencegahan secara serius untuk memastikan penyakit berkenaan tidak menular.
“Tetapi peranan ibu bapa penting kerana komplikasi teruk jangkitan bakteria ini dalam kalangan kanak-kanak bertatih.
“Bawa anak-anak anda berjumpa doktor untuk diagnosis tepat. Langkah pencegahan pelalian merupakan cara pencegahan yang berkesan dan selamat.
“Pelalian adalah menggunakan vaksin pertussis, sekurang-kurangnya tiga dos dan diberikan secara suntikan. Di Malaysia, pelalian diberikan kepada bayi sebanyak empat dos mengikut Jadual Program Imunisasi Kebangsaan.
“Pelalian diberi pada umur 2, 3 dan 5 bulan serta dos tambahan pada umur 18 bulan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan mereka yang mempunyai gejala batuk supaya mengamalkan adab batuk iaitu menutup mulut dan mencuci tangan bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain.
“Seseorang yang bergejala juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi memandangkan bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis,” tegasnya.
Satu video pekerja kesihatan Sabah memberi amaran kepada penduduk Ketiau di Putatan tentang penyakit itu melalui pembesar suara mudah-alih sebelum ini tular pada hari yang sama.
Sementara itu, Dr Zaliha menasihatkan orang ramai supaya berada di dalam bangunan bagi mengelak daripada menjadi mangsa strok haba. Beliau mengulas peristiwa kematian dua kanak-kanak dalam minggu lalu.
“Ini banyak kaitan dengan kesihatan planet. Perubahan iklim yang dialami adalah disebabkan oleh jerebu dari pelbagai bahagian dunia.
“Awasi kanak-kanak dengan teliti khususnya kerana mereka cenderung keluar tanpa kebenaran atau pengawasan. Gelombang haba adalah kejadian global tetapi kita tidak boleh mengambil mudah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu bedah siasat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Kelantan yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik pada Selasa.
“Saya ingin memastikan strok haba adalah punca atau jika dia mempunyai sebarang isu kesihatan lain kerana kanak-kanak ini mengalami cirit-birit sebagai salah satu gejalanya,” katanya.