KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) Sabah bersedia membantu calon dari parti itu yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri di enam negeri di Semenanjung Malaysia.
Pengerusi BN yang juga Ketua Umno Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ketika ini, ia belum dimaklumkan mengenai pilihanraya itu.
"Tetapi, pada kebiasaannya, Barisan Nasional Pusat akan memutuskan gerak kerja itu," jelasnya.
"Kita akan tunggu sehingga hari pilihanraya itu tiba dan melihat dimana calon Barisan Nasional akan diletakkan.
"Ketika itu, kita akan membantu calon kita bersama rakan komponen kita," tambahnya.
Beliau yang juga Anggota Dewan Lamag berkata demikian ketika ditemui Media pada Majlis Rumah Terbuka Jalinan Mesra Aidil Fitri Umno/Barisan Nasional Kinabatangan 2023 di Dewan Sri Lamag, disini, pada Isnin. Ia dianjurkan bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Jafry Ariffin.
Bung ditanya jika Barisan Nasional negeri ini akan menghantar jenteranya bagi membantu kempen dan calon di enam negeri di Semenanjung yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri dalam masa beberapa bulan lagi.
Hadir sama, Bendahari Umno Sabah yang juga Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, beberapa jemputan lain, Datuk Salleh Said Keruak, wakil-wakil bahagian Umno/Barisan Nasional dari Sekong, Batu Sapi, Lahad Datu, Semporna dan Kunak.
Lebih 6,000 hadirin menghadiri majlis berkenaan.
Sementara itu, Bung berkata, majlis yang diadakan yang mendapat kunjungan pelbagai lapisan masyarakat merupakan tradisi yang telah diadakan selama ini dimana amalan kunjung-mengunjungi merapatkan lagi perpaduan yang harmoni.