SABAH telah dapat mencatat pertumbuhan berterusan melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), misalnya, berada di landasan yang betul untuk membawa Sabah dan rakyatnya ke hadapan melalui tonggak utama SMJ. Menurutnya, agenda Sabah Maju Jaya akan memberi manfaat kepada Sabah, terutamanya penduduk di kawasan luar bandar, agar mereka tidak terlepas daripada menikmati pembangunan dan kemajuan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami sentiasa komited untuk memastikan segala perancangan, dasar dan program berjalan lancar,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang disiarkan pada Hari Raya Aidilfitri. .
Ketua Menteri berbangga kerana Sabah diberkati dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, membolehkan kita hidup aman dan harmoni serta saling menghormati antara satu sama lain.
“Keamanan dan keharmonian dalam masyarakat kita telah membuka ruang yang luas untuk kita memanfaatkan keupayaan diri dan membawa keluarga, masyarakat, negeri dan negara ke tahap yang lebih baik. Dengan usaha ini kita akan menghapuskan segala halangan yang dapat memisahkan kita sebagai rakyat Malaysia,” tegasnya.
Hajiji berkata Aidilfitri adalah hari yang dinanti-nantikan umat Islam untuk menandakan berakhirnya bulan Ramadan yang mulia dan bermulanya 1 Syawal, sebagai tanda kemenangan dalam menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan tersebut.
“Dalam menyambut kedatangan Syawal yang penuh barakah, marilah kita merenung tahun sebelumnya dan berazam untuk melakukan yang lebih baik demi kejayaan masa hadapan. Sekarang juga masanya untuk kita mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, saudara mara dan kawan rapat.
“Saya mendoakan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia di Sabah sempena hari yang mulia ini. Marilah kita meluangkan sedikit masa untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri ini demi berbakti kepada negara.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, pegawai penguatkuasa undang-undang dan petugas kesihatan yang bekerja tanpa jemu, berkhidmat serta melindungi rakyat dan negara kita. Marilah kita juga terus mengingati mereka yang memerlukan dan menunjukkan empati terhadap nasib mereka,” katanya.
Bagi pihak Kerajaan Negeri dan keluarga, Hajiji mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakyat di Sabah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Penyelaras Pengurusan Covid-19 Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, menasihatkan orang ramai khususnya yang menyambut Hari Raya supaya terus mengambil langkah selamat untuk mengelakkan penularan covid.
Beliau berkata mereka harus ingat bahawa negeri ini belum pulih sepenuhnya daripada Covid-19.
“Walaupun tahun ini rakyat di Sabah berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara secara bebas tanpa sebarang sekatan, negeri ini masih belum pulih sepenuhnya daripada Covid-19. Kita bersyukur dapat menyambut Hari Raya dengan aman kerana saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.
“Keluarga di Sabah tidak pernah dipisahkan oleh perbezaan agama atau etnik sebaliknya disatukan dengan toleransi dan persefahaman tinggi antara kaum dan agama,” katanya.
Dr Joachim menggesa mereka yang pulang ke kampung halaman agar memandu dengan berhati-hati dan bertanggungjawab supaya semua orang sampai ke rumah masing-masing dengan selamat.
Beliau berucap pada Program Agihan Bubur Lambuk anjuran PBS Bahagian Kundasang dengan kerjasama Unit Pemimpin Masyarakat (UPPM) Kundasang di kawasannya.