SIPITANG: Kira-kira 2,500 bekas pekerja kilang Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) dan ahli keluarga mereka yang tinggal di kuarters SFI terpaksa bergelap selepas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memotong bekalan elektrik di Kompleks SFI pada 2 Mei lalu , kira-kira jam 3 petang.
Tindakan itu turut menyebabkan berlaku gangguan kepada bekalan air mereka kerana pam air berkuasa elektrik di loji air SFI tidak berfungsi.
Jairy Enchai, 35, ketika ditemui di kuarters SFI berkata mereka terpaksa menggunakan bateri kereta, lilin, solar dan kayu api pada waktu malam.
“Saya dan isteri terpaksa membawa anak tidur di garaj kereta kerana keadaan di dalam rumah sangat panas. Kami juga terpaksa bergantung kepada air hujan dan air mineral untuk mandi dan membasuh,” katanya.
Paudee Mandang, 41, yang turut menggunakan lilin dan solar pada waktu malam serta air hujan untuk mencuci dan memasak berkata, dia mempunyai dua anak yang masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Berampah dan menjaga salah seorang ahli keluarganya yang sedang sakit di rumah.
Seorang sukarelawan Biro Kebajikan Persatuan Bekas Pekerja SFI, Mohd Zuhairi Amir berkata beliau telah meminta bantuan daripada dua wakil rakyat di Sipitang iaitu Adun Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob dan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah melalui WhatsApp untuk bekalan elektrik dipulihkan tetapi tidak mendapat maklum balas sehingga berita ini ditulis.
Ketua Persatuan Bekas Pekerja SFI, Jeffridin Baudi berkata yang paling terjejas ialah kanak-kanak yang masih kecil dan terpaksa bergelap dan menghadapi keadaan panas sehingga ada di antara mereka yang menangis.
Katanya, bekalan lilin di kedai-kedai di pekan Sipitang telah habis dan penduduk kuarters SFI hanya mempunyai stok air yang mencukupi untuk hari tersebut sekiranya hujan tidak turun.
Menurutnya, penduduk kuarters SFI terpaksa menggunakan air mineral dan megambil air dari sungai yang terletak di Kampung Melamam kira-kira 10 km dari SFI dan itu amat membebankan mereka.
“Saya harap ada pihak khususnya NGO atau individu yang boleh membantu menyediakan tangki air dan menghantar air ke perumahan SFI,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini beliau telah mengemukakan surat kepada Ketua Menteri dan Perdana Menteri sekarang untuk rayuan penangguhan pemotongan bekalan elektrik tetapi tiada jawapan sehingga SESB memotong bekalan elektrik di Kompleks SFI pada 2 Mei lalu.
“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk membayar gaji dan pampasan pekerja SFI yang sepatutnya dibayar sepenuhnya, atau pilihan kedua kita diberi rumah dan lot di Kompleks SFI kerana hampir 80 peratus daripada mereka yang masih tinggal di SFI buat masa ini tidak mempunyai tanah dan rumah sendiri,” katanya.
Menurutnya, SFI masih mempunyai bil elektrik tertunggak berjumlah hampir RM325,000 kepada SESB dan salah satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah SESB perlu menamakan mereka yang masih tinggal di perumahan SFI selepas semua tunggakan dibayar oleh Kerajaan Negeri seperti yang dipersetujui sebelum ini. Selepas itu, bil elektrik seterusnya akan dibayar oleh individu yang tinggal di perumahan SFI.
“Ini akan menjadi situasi menang-menang antara kami dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Jeffridin berkata pelajar Sekolah Khas (Sindrom Down) dan Tabika Kemas turut terjejas akibat terputusnya bekalan elektrik, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Berampah tidak terlibat dalam gangguan bekalan elektrik.
Difahamkan, masalah sebenar di SFI ialah pertikaian berterusan mengenai syarikat yang ingin mengambil alih syarikat SFI dan campur tangan Kerajaan Sabah.