SANDAKAN: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang di perairan laut Pulau Berhala sejak pagi Jumaat lalu ditemukan lemas, pada pagi Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPgB Severinus Nidzam@Sainkui berkata, mangsa dikenali sebagai Mohammad Saidin Salapudin, 33 tahun dipercayai keluar dari jeti Pulau Berhala sekitar 6 pagi, Jumaat.
“Difahamkan mangsa menuju ke perairan Pulau Berhala untuk memukat udang dan sepatutnya pulang sekitar jam 3 petang.
“Namun pada jam 2 petang, bot mangsa dijumpai penduduk kampung tanpa pengemudi,” katanya dalam kenyataan.
Pencarian melibatkan penduduk kampung pada hari sama menemui jalan buntu dan mereka melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.
Operasi mencari kemudiannya diaturgerak antara pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta polis.
Mayat mangsa ditemui ketika hari kedua operasi carilamat oleh orang awam pada jarak 2 batu selatan nautika dari Pulau Berhala pada jam 8.55 pagi, Ahad.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa oleh pasukan polis untuk tindakan lanjut.