Kota Kinabalu: Henry Saimpon mengumumkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan naib presiden dalam Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) pada pemilihan akan datang yang dijadualkan Sabtu ini (13 Mei).
Bekas pemain negeri itu yang dipilih pada 2018 dan dilantik pengurus pasukan untuk skuad senior pada 2018 dan 2019 berkata pada Isnin bahawa sudah tiba masanya untuk beliau berundur dan memberi peluang kepada muka baharu.
“Ya, saya tidak akan terlibat dalam pemilihan itu untuk memberi peluang kepada seseorang yang baharu. Bagaimanapun, penting untuk mereka yang dipilih adalah individu yang benar-benar cintakan bola sepak dan bukan semata-mata untuk memegang jawatan dalam persatuan.
“Kepimpinan sebelum ini telah memberikan yang terbaik untuk membangunkan bola sepak di Sabah dan berjaya menamatkan kemarau selama 23 tahun apabila muncul juara Liga Perdana pada 2019.
“Saya berharap usaha memajukan bola sepak di negeri ini diteruskan oleh pemegang jawatan baharu termasuk mencungkil bakat baharu menerusi program pembangunan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menyokong gesaan timbalan presiden Datuk Juil Nuatim untuk mendukung perlembagaan persatuan dan melaksanakannya dengan sewajarnya.
“Ia mesti dihormati dan diikuti, jadi saya berharap mesyuarat agung dan pemilihan akan datang akan telus dan dilaksanakan berlandaskan perlembagaan,” katanya.