Kota Kinabalu: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun tetapi mengetepikan denda yang dikenakan terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun kerana terlibat pemerdagangan manusia dan menjadi orang tengah dalam aktiviti pelacuran.
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Supang Lian dan Datuk Sri Mariana Yahya sebulat suara membuat keputusan itu terhadap James Jeffrey, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak pada Isnin.
Jeffrey merayu terhadap hukumannya.
Dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM10,000 atau penjara sembilan bulan selepas dia mengaku bersalah memperdagangkan seorang gadis muda untuk tujuan eksploitasi.
Bagi pertuduhan kedua, James menerima hukuman penjara tujuh tahun lagi dan lima sebatan kerana menjadi orang tengah dalam aktiviti pelacuran dengan menawarkan bayaran perkhidmatan seks sebanyak RM150 untuk dua lagi wanita.
James melakukan kesalahan itu bersama dua tertuduh bersama antara 28 Ogos 2020 dan 6 Sept 2020 di Taman Indah Jaya, Sandakan.
Pertuduhan pertama mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom).
Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Sesyen di Sandakan memerintahkan James menjalani hukuman penjara secara serentak mulai tarikh tangkap pada 7 Sept 2020.
James kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah Tinggi pada 20 April 2021 menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah rendah ke atasnya.
Terdahulu, peguam Wesley Chang yang mewakili James secara pro bono, antara lain, berhujah bahawa hukuman penjara itu, walaupun dijalankan serentak, jelas berlebihan memandangkan ia melibatkan satu transaksi tunggal dan tiga mangsa.
Dia juga menggesa mahkamah mengetepikan denda tersebut.
Dalam jawapannya, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Mashud berhujah bahawa hukuman penjara yang dijatuhkan tidak keterlaluan dan bagi denda, dia menyerahkannya kepada mahkamah.
Muhammad berkata bahawa James telah melakukan kesalahan itu bersama dua lagi lelaki dan kedua-dua tertuduh bersama tidak membuat rayuan terhadap hukuman itu.