Kota Kinabalu: Pemain Sabah, Bruni Garip mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas pertama negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Senior Seluruh England (All England) 2023 yang berlangsung di Kampung Sukan Hertfordshire, Kampus De Havilland, Hatfield, England bulan lepas.
Dia mengalahkan Graham Robinson dari England 21-18, 21-18 pada perlawanan akhir untuk membawa pulang gelaran perseorangan lelaki (70 tahun).
Terdahulu, dia mengetepikan Stefan Ohras dari Sweden 21-14, 21-11 pada saingan separuh akhir.
Bruni hampir memenangi gelaran kedua dalam acara beregu lelaki bersama gandingannya Datuk Anthony Linggian selepas pasangan itu mara ke final dengan kemenangan 20-22, 21-18, 21-19 ke atas Peter Emptage/John Gardner dari England pada separuh akhir.
Menurut Anthony, kemenangan itu membolehkan mereka membalas dendam selepas mereka tewas kepada lawan sama pada Kejohanan Dunia BWF ke-11 di Huelva, Sepanyol dua tahun lalu.
Bagaimanapun, kemenangan itu juga mengakibatkan Anthony mengalami kekejangan pada kedua-dua kaki dan tangan pada penghujung perlawanan yang berlangsung hampir sejam.
Dia tidak dapat pulih sepenuhnya untuk perlawanan akhir dan akibatnya, mereka tewas 13-21, 8-21 kepada satu lagi pasangan Inggeris William Hamblett/Graham Holt, dan terpaksa berpuas hati dengan perak.
Walaupun sedih, kedua-duanya berbangga dengan pencapaian mereka.
“Walaupun kami gagal menang di final, kami amat berbangga kerana berjaya menewaskan wira kami pada separuh akhir terutama di hadapan penyokong tuan rumah mereka.
“Untuk kembali dengan satu emas dan satu perak dalam penampilan sulung kami di kejohanan tertua dunia dan salah satu kejohanan paling berprestij adalah di luar jangkaan dan kami benar-benar berbangga untuk meletakkan Malaysia di atas peta,” kata Anthony.