BEAUFORT: Wakil rakyat Lumadan, Datuk Ruslan Muharam mengambil inisiatif membuka dua penempatan baharu di Kampung Batu Enam Setengah dan Kampung Balibata masing-masing seluas 10 ekar.
Beliau berkata, ia bertujuan membantu penduduk yang tiada tapak rumah selepas kediaman asal mereka di Kampung Bukau dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.
“Usaha ini juga melibatkan penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Padas yang perlu dipindahkan atas faktor keselamatan memandangkan kediaman sedia ada sering dilanda banjir besar.
“Lot-lot perumahan juga disediakan di dua penempatan baharu terbabit iaitu sebanyak 60 buah lot di Kampung Batu Enam Setengah manakala di Kampung Balibata kini dalam proses penyesuaian tapak oleh komuniti terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan bersama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Beaufort di penempatan baharu Kampung Batu Enam Setengah, di sini, Isnin lalu.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum penduduk dapat berpindah masuk ke penempatan baharu di Kampung Batu Enam Setengah.
Menurutnya, antaranya masalah banjir di sepanjang laluan masuk ke penempatan terbabit akibat ketiadaan sistem perparitan yang teratur termasuk keadaan jalan yang perlu dinaik taraf.
Sehubungan itu katanya, JPS akan membersihkan Sungai Api-Api sejauh 5 kilometer yang dipenuhi semak samun hingga menghalang kelancaran aliran air keluar khususnya semasa hujan lebat hingga menyebabkan banjir di kawasan itu.
“Selain menyelesaikan isu banjir, ia juga adalah kesinambungan pembersihan sama dilaksanakan JPS di Sungai Api-Api sejauh 7.5 kilometer sebelum ini bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Bukau.
“Kita juga akan dapatkan peruntukan bagi pembersihan selebihnya iaitu kira-kira 2km lagi hingga ke hujung Sungai Api-Api berdekatan Kampung Padas Valley termasuk berusaha selesaikan masalah perparitan di penempatan ini.
“Semua kesukaran ini akan kita selesaikan dengan kerjasama JPS termasuk Pejabat Daerah Beaufort bagi isu naik taraf laluan atau jalan masuk ke penempatan ini,” katanya.