BELURAN: Seorang lelaki berusia 28 tahun hilang dan dikhuatiri telah dibaham oleh seekor buaya di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2 pada petang Selasa.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 3.51 petang dan bergegas ke lokasi sejauh 70 kilometer dari BBP Beluran.
"Menurut saksi, sebelum kejadian mangsa yang dikenali sebagai Rudi Amiruddin melakukan aktiviti membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan estate bersempadan dengan Sg Rawog.
"Semasa berehat,mangsa pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kaki, namun secara tiba-tiba buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.
"Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun tidak dapat dibantu oleh kawan mangsa yang juga sama-sama bekerja di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Oleh itu, operasi mencari mangsa sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak polis, polis bantuan serta Agensi Pertahanan Malaysia (APM).
"Operasi SAR bersama agensi lain dimulakan dengan radius satu kilometer di sekitar lokasi kejadian," tambah Edoen lagi.
Usaha pencarian masih dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.