BELURAN: Seorang lelaki berusia 28 tahun hilang, dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2 petang Selasa lepas.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 3.51 petang dan bergegas ke lokasi sejauh 70 kilometer dari BBP Beluran.
“Menurut saksi, sebelum kejadian mangsa yang dikenali sebagai Rudi Amiruddin melakukan aktiviti membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan ladang bersempadan Sg Rawog.
“Semasa berehat,mangsa pergi ke tepi sungai untuk membasuh tangan dan kaki, namun secara tiba-tiba buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.
“Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun tidak dapat dibantu oleh rakan mangsa yang sama-sama bekerja dengannya di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Operasi mencari mangsa sedang giat dijalankan dengan bantuan polis, polis bantuan serta Agensi Pertahanan Malaysia (APM).
“Operasi carilamat bersama agensi lain dimulakan dengan radius satu kilometer di sekitar lokasi kejadian,” tambah Edoen.
Mangsa belum ditemukan ketika laporan ini ditulis.