SABAH perlu memanfaatkan kuasa teknologi baharu untuk menangani keperluan infrastruktur dan meletakkan semula negeri di landasan pertumbuhan dan kemajuan, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Phoong Jin Zhe.
Beliau berkata kemajuan teknologi menawarkan pelbagai pilihan yang boleh menyediakan penyelesaian boleh dipercayai, berkesan dan jangka panjang kepada masalah bekalan air dan tenaga di Sabah.
“Kita perlu mencari bukan sahaja industri bersesuaian bagi menempatkan semula Sabah tetapi juga teknologi baharu yang sesuai untuk menyelesaikan kekurangan infrastruktur asas di negeri ini, seperti membina empangan bagi menyelesaikan masalah air kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun dan Pelantikan Persatuan Pembangunan Usahawan (PUMM) Malaysia Bahagian Sabah ke-8, di Kota Kinabalu pada 29 April.
Beliau mengakui Sabah masih berdepan masalah infrastruktur, dengan menyatakan kapasiti tenaga negeri itu hampir pada hadnya manakala ramai yang masih bergelut dengan isu bekalan air di pelbagai kawasan seperti Sepanggar.
Tanpa infrastruktur asas yang stabil seperti tenaga, air dan jalan raya, Phoong berkata amat sukar bagi Sabah untuk mencapai perindustrian dan merealisasikan sepenuhnya pelan pembangunannya untuk sektor keusahawanan.
Mengulas lanjut, Phoong berkata kerajaan berusaha mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif bagi menarik pelabur dan industri tempatan ke Sabah, walaupun dana dan peruntukan terhad diperlukan untuk membangunkan infrastruktur seperti air, tenaga, jalan raya dan sistem kereta api.
Pun begitu, katanya kerajaan persekutuan bersetuju untuk menyediakan lebih banyak peruntukan pembangunan serta penurunan kuasa kepada kerajaan negeri untuk memutuskan pelbagai perkara dalam siri perbincangan peringkat tinggi antara pemimpin negeri dan rakan sejawatannya di persekutuan.
“Sabah akan diberi lebih banyak sumber dan kuasa untuk membina dan memperkasakan sektor keusahawanan di negeri ini,” katanya.
Beliau menegaskan Sabah perlu mengenal pasti jenis industri yang memberi manfaat kepada negeri secara langsung dan memberikan kelebihan daya saing dalam era perubahan dan peralihan akibat pandemik Covid-19 dan perang perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat dan China.
“Bukan sahaja impak daripada pandemik mengubah cara kita menjalankan perniagaan tetapi perang perdagangan antara kuasa besar mewujudkan ketidaktentuan dalam ekonomi global dan bertanggungjawab terhadap kenaikan kos bahan mentah,” kata Phoong.
Selain itu, katanya, Sabah mengimport lebih 80 peratus barangan dan eksport kurang 20 peratus yang menjadi punca utama mengapa kos sara hidup di negeri ini lebih tinggi berbanding bahagian lain di negara ini.
Phoong kecewa sektor pembuatan negeri dan KDNK kekal tidak berubah sejak 30 tahun lalu.
“Ketika itu sektor pembuatan kita berada pada 6 peratus daripada KDNK kita, tetapi bukan hanya 7 peratus,” katanya, sambil menambah, sukar untuk melihat pertumbuhan ekonomi di Sabah tanpa pembangunan industri
“Persoalannya ialah bagaimana kita mengatasi cabaran tersebut? Itu memerlukan komitmen dan usaha seluruh kerajaan bagi mengenal pasti industri yang sesuai untuk dibangunkan pada masa hadapan,” katanya sambil menyeru kerjasama lebih erat antara kerajaan dan sektor swasta untuk bertukar-tukar idea mengenai cara memajukan pelbagai industri di negeri ini.
Beliau mendapati Sabah boleh meletakkan semula ekonominya dan mendapat manfaat besar dengan menggunapakai pendekatan yang lebih tepat untuk melabur dalam industri menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan dunia untuk berkembang maju pada masa hadapan.