Pesta Kaamatan perlu dijadikan platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain mempromosi dan memelihara tradisi dan adat resam melalui tarian, muzik dan pakaian tradisional, beliau berkata Pesta Kaamatan memainkan peranan penting dalam membina jambatan persefahaman melalui perkongsian tradisi dan adat untuk memahami antara satu sama lain.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan. Kami percaya program kebudayaan dapat mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat berbilang kaum dan membolehkan kami mengenali, memahami dan menghargai adat resam dan budaya antara satu sama lain.
“Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di Sabah menjadikan Negeri Di Bawah Bayu ini sebagai tempat yang unik bagi setiap rakyat Sabah dan tetamu yang berkunjung ke Negeri ini,” katanya pada majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2023 di Tuaran pada 1 Mei lalu.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri.
Ketua Menteri berkata semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang diamalkan oleh rakyat boleh diperkukuh lagi melalui konsep Malaysia Madani melalui sambutan Pesta Kaamatan.
Hajiji berkata semasa sambutan sebulan sehingga kemuncaknya pada 30 dan 31 Mei, banyak aktiviti akan diadakan di seluruh Negeri serta di Sarawak dan Semenanjung Malaysia dan oleh itu, beliau menjemput semua rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam acara yang diadakan.
“Saya menjemput semua untuk bersama-sama menjayakan sambutan ini di peringkat daerah, kampung dan organisasi.
“Saya berharap kita akan terus menghayati semangat Pesta Kaamatan ini demi kestabilan, keamanan, persahabatan dan kemakmuran negeri dan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Hajiji turut menyeru kumpulan etnik dan sub-etnik di Sabah untuk menggandakan usaha mempromosi dan mempamerkan budaya masing-masing.
“Berbanggalah dengan identiti budaya kita yang diturunkan dari generasi ke generasi.
Kekalkan kesinambungan bukan sahaja identiti budaya tetapi juga bahasa etnik masing-masing untuk generasi akan datang. Saya sangat gembira kerana terdapat kesedaran oleh banyak kumpulan etnik untuk menyokong usaha Kerajaan dalam mengekalkan tradisi etnik dan, pada masa yang sama, mempromosikan kepelbagaian budaya yang amat kita banggakan di Sabah,” katanya.