Kota Kinabalu: Satu undang-undang kecil (UUK) yang penting untuk meningkatkan hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah, kini dalam proses pewartaan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata, pihak Kementerian akan memaklumkan dan melaksanakan jerayawara untuk memberi khidmat nasihat kepada semua PBT.
“Ini adalah antara usaha yang sedang dilaksanakan di peringkat Kementerian,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Majlis Amanat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah 2023 yang diadakan d Magellan Sutera Harbour, di sini, Jumaat.
Dr Joachim berkata, PBT boleh dikatakan sebuah organisasi berdikari, di mana walaupun ada sedikit suntikan bantuan daripada kerajaan, tetapi pencarian hasil bagi kelangsungan PBT adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan.
“Berusahalah untuk mencari sumber pendapatan baharu yang mampu meningkatkan pendapatan PBT. Pejabat Kementerian sentiasa terbuka untuk berbincang dan bertukar pendapat.
“Pada pihak Kementerian, barisan pegawai sentiasa mengalu-alukan sesi perbincangan penambahbaikan di PBT. Hasil seperti kutipan cukai pintu, sewaan serta lesen perlu terus dikutip selain kutipan hasil semasa dan kutipan tunggakan dipergiatkan,” katanya.
“Kita perlu perlu berfikir secara kreatif untuk memastikan hasil dikutip dan menjana hasil baharu,” tegasnya.
Dr Joachim berkata, selain itu, banyak lagi program yang telah dan sedang dirancang di peringkat Kementerian dalam usaha memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan, sejajar dengan empat teras utama kementerian iaitu; mentransformasikan penyampaian perkhidmatan PBT; memantap dan melestarikan pembangunan sektor perumahan; perancangan pembangunan guna tanah yang mampan dan sistematik; dan memantapkan fungsi dan peranan Mahkamah Anak Negeri.
Terdahulu, beliau menyatakan harapannya agar Kementerian dan agensi di bawahnya termasuk semua PBT dapat bekerja sebagai satu pasukan.
“Amalan budaya kerja berpasukan amat penting dalam memastikan kita bekerja ke arah matlamat yang sama.
“Kecemerlangan bukan sahaja diukur dengan pencapaian sasaran kerja, tetapi ianya melalui perkhidmatan berintegriti. Oleh itu boleh kita simpulkan bahawa kecemerlangan itu adalah cerminan diri kita sebagai seorang penjawat awam.
“Saya amat berharap anda semua sentiasa menghayati apa juga tugasan dan arahan serta tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Sebagai penjawat awam, kita semua tidak pernah jauh daripada aduan dan tuduhan sama ada daripada orang awam yang pernah berurusan dengan kita, mahupun mereka yang berurusan dengan kakitangan di pejabat.
“Saya ingin ingatkan kepada semua bahawa pihak Kementerian tidak pernah dan tidak akan sewenang-wenangnya menerima tuduhan, aduan dan tohmahan tersebut dan akan menyiasat kesahihan aduan yang diajukan.
“Bagaimanapun, sepanjang proses siasatan, jika aduan didapati benar, pihak Kementerian terpaksa melaksanakan tindakan pembaikan di mana perlu.
“Syukur setakat ini, kita tidak pernah melaksanakan tindakan tatatertib yang serius,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa mereka sedang dan sentiasa diperhatikan.
“Saya faham kadang-kadang ini amat tidak selesa tetapi masyarakat di luar sana mengharapkan perkhidmatan daripada kita. Apa lagi pada zaman moden ini, semua boleh ditularkan dengan mudah.
“Bagaimanapun, sekiranya kita melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan berteraskan integriti serta ketelusan, saya rasa tidak ada apa yang perlu dirisaukan.
“Pastikan tugasan di daerah diselesaikan dan diberi perhatian sewajarnya. Dengan etika kerja yang baik, sikap dan pemikiran yang betul, perancangan dapat direalisasikan dengan mekanisma pelaksanaan berkesan dan mampu sampai kepada golongan sasar kita,” katanya.
Sementara itu, seramai lima warga kerja Kementerian menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan enam lagi menerima Anugerah Khas pada malam itu.
Turut hadir, Pembantu Menteri I dan II, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohamad Hamsan Ag Supain; Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap I dan II, Stanley Chong dan Faridah Giau; Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar, Rosemary Ahping; Pengarah Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Majaran Osman; Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang; dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Negeri Sabah, Augus Tamaning.