KUALA PENYU: Penyampaian dana Yayasan Pendidikan Limus Jury (YPLJ) menyaksikan seramai 300 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) menerima bantuan organisasi itu.
Bantuan terbesar dan teramai berbanding sebelumnya itu telah mencatat sejarah tersendiri buat YPLJ yang telah ditubuhkan wakil rakyat Kuala Penyu, Datuk Limus Jury pada tahun 2013 lalu.
Seramai 135 orang menerima bantuan berupa komputer riba dan mesin pencetak manakala selebihnya menerima dana RM2,000 termasuk komputer riba serta mesin pencetak di majlis sempena Pesta Kaamatan Peringkat Kuala Penyu itu.
Bantuan disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib yang turut merasmikan majlis itu yang diadakan di Dewan Shahbandar Makang, di sini.(13 Mei)
Limus berkata, bantuan YPLJ kali ini juga dibuat sempena ulang tahun ke-10 penubuhan organisasi tersebut.
Katanya, bantuan pendidikan itu dikhaskan untuk membantu pelajar
dari kawasan ini yang terpilih melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, sekaligus meringankan beban ibu bapa mereka.
“YPLJ telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 anak-anak Kuala Penyu sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, pada masa sama melahirkan ramai graduan profesional dari kawasan ini.
“Kita sedar pentingnya pendidikan yang berupaya merubah kehidupan kepada lebih baik, atas kesedaran itu saya berusaha membantu mereka sebaik mungkin khususnya melalui YPLJ ini.
“Justeru, saya berharap mereka yang menerima bantuan YPLJ supaya terus komited cemerlang dalam pengajian mereka demi mengejar dan merealisasikan impian mereka,” katanya.