TAWAU: Enam individu termasuk seorang bergelar Datuk direman tiga hari bermula Rabu, bagi membantu siasatan kes penipuan deklrasi penjualan hasil perlombongan emas yang didakwa membabitkan 100 kilogram (kg) bernilai RM25 juta.
Majistret Leona Dominic Mojiliu membenarkan permohonan perintah reman ke atas semua suspek yang dikemukakan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmawi Kulup Lam di Mahkamah Majistret Tawau.
Kesemua suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita daripada dua syarikat, berumur di antara 42 hingga 67 tahun itu, ditangkap di Pejabat SPRM Tawau, tengah malam pada Selasa.
Difahamkan kesemua suspek, termasuk ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat dengan curangnya disyaki memperdaya kerajaan Sabah dengan mengemukakan penyata penjualan emas yang mempunyai butiran palsu bagi mengelak dan membayar royalti emas sebenar kepada kerajaan negeri terhadap hasil emas yang dilombong di Bukit Mantri di sini.