Kota Kinabalu: Penyelaras Cina Parti Warisan, Chin Tek Ming membidas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berhubung gangguan bekalan elektrik di negeri itu, baru-baru ini.
Mengkritik ketidakupayaan SESB, Chin juga meminta Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar meletak jawatan dan membiarkan “orang yang lebih berkebolehan melakukan tugas itu.”
“Berapa lama kita rakyat Sabah perlu menunggu? Salah satu faktor berlakunya gangguan bekalan yang kerap pastinya adalah melalaikan tugas. Oleh itu, mereka harus meletakkan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
“Kerajaan Negeri akan mengambil alih pengurusan dan pemilikan SESB dan menyelesaikan masalah bekalan elektrik untuk selama-lamanya.
“Kita jaga rumah sendiri, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri bertindak,” katanya. Chin juga menegaskan bahawa firma utiliti itu harus memberi pampasan kepada penggunanya.
“Sebagai pengguna terjejas yang tidak dapat berehat dengan baik akibat gelombang haba dan tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam kes mahkamah pada hari kedua, adalah tidak boleh diterima bahawa gangguan bekalan elektrik baru-baru ini di sekitar Kota Kinabalu dan tempat lain di Sabah begitu kerap berlaku.
“Ini telah menyebabkan gangguan dan menyusahkan kehidupan rutin orang ramai, selain terhadap industri pelancongan Sabah.
“Pelancong yang melawat Negeri kita yang tercinta pasti ‘kagum’ dengan gangguan bekalan elektrik yang kerap dan norma baharu melancong dalam gelap.
“Adalah ironis apabila SESB yang memasang papan tanda di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan lain di negeri ini dengan cogankata mereka ‘Cahaya Anda, Kebanggaan Kami’ tidak dapat menunaikan kata-katanya, ia benar-benar satu penghinaan terhadap kecerdasan orang ramai.
“Alasan kecurian kabel, litar pintas dan transformer terpelantik tidak boleh diterima sepenuhnya. SESB malah menggesa orang ramai supaya bersabar menunggu penyambungan semula bekalan elektrik. Tidakkah mereka tahu bahawa orang ramai sudah hilang sabar? Perkara ini boleh dilihat dengan mudah di media sosial,” katanya.