Kota Kinabalu: Lima warga Filipina, dua daripadanya memiliki dokumen sah, didakwa memiliki permit masuk palsu, bersubahat memiliki dokumen palsu dan kemasukan haram.
Lima yang ditahan baru-baru ini berhubung sindiket pemalsuan permit masuk ialah pemegang MyPR Nurma Hasan, pemegang IMM13 Gabby Roger, Rusmi Ramli, Abang Barin dan Rajul Musim.
Mereka dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz untuk menghadapi pertuduhan terhadap mereka.
Nurma menghadapi 27 pertuduhan bersubahat dengan Rusmi, Gabby, Abang dan Rajul untuk memiliki 27 permit masuk palsu.
Sementara Rusmi menghadapi 24 pertuduhan kerana memiliki 24 dokumen palsu itu, Abang dan Rajul menghadapi dua pertuduhan iaitu memiliki permit masuk palsu dan memasuki Negeri secara haram, dan Gabby mempunyai satu pertuduhan iaitu memiliki permit masuk palsu.
Rusmi telah mengaku bersalah kepada 11 pertuduhan dan mengaku tidak bersalah kepada 13 pertuduhan lain, sementara Abang dan Rajul mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadap mereka, manakala Gabby mengaku tidak bersalah kepada pertuduhan terhadapnya.
Bagaimanapun, kesemua kes Rusmi, Abang dan Rajul ditangguhkan ke 26 Jun tahun ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan fakta serta hukuman.
Tiada jaminan ditawarkan untuk mereka dan mereka diperintahkan direman sementara menunggu tarikh tersebut.
Bagi Gabby, mahkamah telah menetapkan 9-10 Jan tahun depan untuk mendengar kesnya dan melepaskannya dengan jaminan RM5,000 berdeposit RM2,500 dan dua warganegara Malaysia sebagai penjaminnya.
Peguam Goldam Hamid mewakili Gabby.
Sementara itu, mahkamah telah menangguhkan hukuman Nurma ke 23 Mei kerana mahkamah mahu menyemak trend hukuman bagi kesalahan itu.
Nurma ditawarkan jaminan RM5,000 berdeposit RM2,000 dan dua warganegara Malaysia sebagai penjaminnya.
Antara permit masuk palsu adalah di bawah nama Ferwina Jalil, Nurarrasina Junny, Adjlan Rastala, Jamal Joe, Norysamira Reyan, Alsaid Abdullah, Jinita Umar, Arasid Abdullah, Mazlan Abdullah, Neneng Abdullah, Shelmalyn Abdullah, Nur Baiti Manner, Mohd Faizal Musli, Hakim Hassan, Oben Muis, Roslin Husin, Muhammad Aslon Laxson, Asah Abdullah, Nurmalin Taril, Noraziza Laxson, Alsina Laxon, Rosalinda Husin dan Aisyah Abdullah.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 10.35 malam pada 29 dan 30 Mac tahun ini di sebuah rumah di Kg Sembulan Lama, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 56 (1) (I) Akta Imigresen, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 56 (1) (aa) Akta sama, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan bagi Nurma, peguam Luke Ressa Balang meminta hukuman ringan dengan mengatakan Nurma berusia 59 tahun dan mempunyai masalah jantung serta sedang mengambil ubat..
Dia memberitahu mahkamah bahawa ia adalah kesalahan pertama Nurma dan dalam kes itu, dia hanya terlibat membawa dokumen palsu yang ditempah oleh seorang bernama Idawati.
Menurut Luke, Nurma hanya mengenali Rusmi tetapi bukan Abang, Gabby dan Rajul dan dia bukanlah pelaku utama.
Luke juga berhujah bahawa Nurma telah dipergunakan oleh Idawati untuk membawa permit masuk palsu kepada Rusmi kerana Nurma seorang yang buta huruf.
Dia meminta semua hukuman berjalan serentak kerana Nurma memaklumkan dia sanggup menjalani hukuman penjara itu kerana dia tahu dia tidak mampu membayar denda itu
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nur Syhada dari Jabatan Imigresen menggesa mahkamah mengenakannya kerana ia merupakan kesalahan serius yang melibatkan keselamatan negara.
Syarifah berhujah bahawa sebagai warganegara Filipina dan diberi dokumen MyPR, Nurma seharusnya tidak bersubahat dengan pendatang tanpa izin lain untuk mendapatkan permit masuk palsu.
“Seperti yang kita tahu di negara kita, khususnya Sabah, yang dibanjiri pendatang tanpa izin yang masuk ke negeri ini tanpa dokumen sah, ini menyebabkan ancaman keselamatan, masalah sosial dan juga kedaulatan negara.
“Pemalsuan permit masuk ini telah memberi ruang dan peluang kepada pendatang asing tanpa izin yang tinggal secara haram di Negeri ini untuk terus berada di sini,” kata Syarifah.
Mahkamah mendengar bahawa Nurma telah bersubahat dengan Rusmi, Abang, Gabby dan Rajul dalam mendapatkan permit masuk palsu.
Kesemua dokumen palsu itu ditemui di rumah tersebut dan apabila dokumen itu disemak oleh Jabatan Imigresen, ia tiada rekod dalam sistem.
Siasatan mendapati, Nurma akan menerima dokumen palsu itu serta bayaran daripada empat mereka untuk proses permohonan seterusnya.