Kota Kinabalu: Skuad B-23 Sabah FC menewaskan Kelantan United 4-1 di Stadium Likas pada malam Ahad lalu untuk kemenangan pertama mereka dalam saingan Piala MFL.
Pasukan tuan rumah yang diperkuatkan oleh beberapa pemain senior, membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi Ahzad Harraz dengan tandukan susulan hantaran lintang Hizaz Lokman.
Gol penyamaan pelawat hadir menerusi Adam Daniel pada minit ke-40 selepas pemain Sabah FC gagal mengeluarkan bola di kawasan kotak penalti.
Sahrizan Saidin kemudian mengembalikan kelebihan satu gol Sabah dua minit sebelum wisel separuh masa pertama dengan sepakan lob mengatasi penjaga gol Kelantan United.
Sabah FC melebarkan kelebihan mereka pada minit ke-70 menerusi jaringan pemain senior Umareng
Bacok sebelum Amri Yahyah yang diturunkan pada separuh masa kedua meletakkan keputusan di luar keraguan dengan sepakan percuma pada masa kecederaan.
Walaupun meraih tiga mata, Sabah kekal di tangga kedua tercorot di atas Kelantan United dengan lima mata daripada satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.