Kota Kinabalu: Mahkamah Khas Rasuah menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan lanjut kes seorang kakitangan kerajaan berusia 44 tahun yang didakwa atas 16 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM45,000, tujuh tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga menetapkan tarikh itu untuk Zulfikar Khomeini Asli yang kesnya dikemukakan untuk sebutan pada Isnin.
Pihak pembelaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka sedang menyediakan surat representasi dan meminta tarikh sebutan lanjut.
Bagi pertuduhan pertama hingga 16, Zulfikar yang ketika itu merupakan Ketua Unit Penguatkuasaan Cukai Jualan di Bahagian Audit Dalam Kementerian Kewangan Negeri Sabah, didakwa menerima suapan RM4,900, RM4,700, RM6,500, RM3,200, RM700, RM2,550, RM2,450, RM2,750, RM900, RM1,350, RM3,000, RM2,250, RM2,500, RM2,250, RM2,500 dan RM2,500 daripada seorang pengurus syarikat kelapa sawit.
Pertuduhan menyatakan bahawa semua wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank Zulfikar di mana dia mendapat faedah dan dia didakwa gagal melaporkan kesalahan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah melanjutkan ikat jamin Zulfikar, yang kini berkhidmat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee dari SPRM, manakala Zulfikar diwakili peguam Syed Anwar Shariff Abdullah.