Mon, 15 Jun 2026
Headlines:
Kes bunuh di Penjara Kepayan: ‘Banduan berkelakuan pelik, kerap minta tembakau’
Published on: Tuesday, May 23, 2023
Published on: Tue, May 23, 2023
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
Kes bunuh di Penjara Kepayan: ‘Banduan berkelakuan pelik, kerap minta tembakau’
Peguam PJ Perira, Dominic Chew dan Ariel Dasan mewakili Dzulfikri, Farizan, Saiful, Mutalib dan Zerry manakala peguam Hairul Vaiyron Othman mewakili Barry, Amran, Tommy, Shahryll dan Fazi.
Kota Kinabalu: Seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 10 kakitangan penjara yang didakwa membunuh seorang banduan di Penjara Pusat empat tahun lalu, memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa banduan itu berkelakuan pelik kerana meminta tembakau yang dilarang di penjara.

Warden penjara sarjan mejar Azman Sulaiman, ketua bahagian keselamatan di Penjara Pusat di sini, memberitahu Hakim Datuk Christopher Chin bahawa dia mengenal pasti banduan tersebut dengan nama Shainal Mukhtar semasa mengiringinya dari klinik penjara ke blok pengasingan (Blok Gemilang) yang terletak kira-kira 200 meter jauhnya, pada waktu petang 2 Okt 2019.

Advertisement
Azman menyatakan dalam keterangan saksinya pada Isnin bahawa dia dan warden lain yang mengiringi Shainal, meletakkannya di sel nombor 11 di Blok Gemilang.
Azman berkata, Shainal berkelakuan pelik kerana kerap meminta tembakau berulang kali sepanjang perjalanan dari klinik ke Blok Gemilang dan ditempatkan di Sel 11.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Bagi saya, ini agak pelik kerana jika banduan dalam keadaan normal, banduan tidak akan berani bercakap atau meminta tembakau daripada mana-mana pegawai penjara,” kata Azman.

Saksi itu menyatakan bahawa dia kemudian memberitahu warden Shahryll yang bertugas di sel pengasingan itu untuk memaklumkan ketua blok bahawa banduan tersebut berkelakuan pelik, sebelum beredar.

Advertisement
“Ketika dalam perjalanan dari klinik ke blok pengasingan, saya sudah merasakan Shainal berada dalam keadaan pelik, antaranya dia meminta saya memberinya tembakau. Tembakau adalah barang yang dilarang dalam penjara,” jelas Azman.

Kepada soalan pihak pendakwaan, Azman berkata dia sudah mengenali Shainal sebelum dihantar ke Kem Paradise Kota Belud, kerana dia pernah bekerja di bahagian Pejabat Rekod di Penjara Pusat Kota Kinabalu.

Advertisement
“Sebelum itu, dia normal seperti banduan biasa dan sebab itu saya tanya begitu,” kata Azman merujuk kepada keterangannya bahawa dia bertanya kepada Shainal kenapa dia berkelakuan agresif ketika berada di klinik penjara.

Azman mengesahkan pernah bertemu Shainal di penjara Kepayan sebelum dihantar ke Kem Paradise, Kota Belud.

“Ketika dia masih bekerja di Pejabat Rekod, kami minta dia buat kerja fotostat, tetapi saya tidak ingat tarikhnya kerana sudah lama. Saya pun tidak tahu bila dia dihantar ke Kem Paradise. Saya hanya tahu selepas dia tiada lagi di pejabat rekod,” katanya.

Ditanya mengenai kelakuan Shainal ketika bertugas di pejabat rekod Penjara Kepayan, sebelum dihantar ke Kem Paradise, Azman berkata, perwatakannya normal seperti orang biasa.

Saksi itu turut mengenal pasti Shainal menerusi gambar yang dirujuk kepadanya oleh pihak pendakwaan.

Dibicarakan adalah inspektor penjara Dzulfikri Mohd Safri, 28, dan warden Barry Jipmon, 30, Farizan Mokri, 40, Mohd Saiful Saidin, 34, Amran Yasik, 25, Ab Mutalib @ Talib Abd Rasul, 40, Zerry Maidin, 33, Tomy Momoh , 36, Shahryll Nazry Wan Sofian, 25, dan Muhammad Fazi Lakui, 32.

Kesemua mereka dituduh bersama membunuh Shainal Mukhtar, 36, di sel nombor 11, Blok Gemilang, di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Jalan Kepayan dekat sini pada 4.20 petang, antara 2 Okt dan 4 Okt 2019.

10 tertuduh pada 24 Ogos 2020 meminta dibicarakan terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Azman berkata lagi, sekitar jam 7.10 malam hari yang sama pada 2 Okt 2019, dia menerima panggilan daripada Sarjan Farizan memaklumkan Shainal bertindak agresif dengan menjerit dan meminta tembakau.

Dia berkata, kira-kira jam 7.15 malam Warden Fazi datang ke ketua bahagian keselamatan (Pejabat UKP), di mana dia berada, untuk mengambil baju pasung tetapi dia meminta Fazi merujuk kepada pegawai bertanggungjawab terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Saksi itu berkata dia dihubungi oleh Sarjan Farizan, yang memaklumkan bahawa mereka telah mendapat kebenaran daripada pegawai bertanggungjawab untuk menggunakannya jika perlu, dan sehingga dia selesai bertugas pada pukul 9 malam, dia tidak menerima sebarang laporan.

Azman seterusnya menyatakan bahawa pada 5 Okt 2019, dia mendapat tahu daripada rakan sekerja, Sarjan Saini, yang memberitahunya mengenai kes kematian banduan di mana dia bertanya sama ada banduan itu meninggal dunia di hospital atau di blok. Saksi menyatakan bahawa sarjan itu memberitahunya bahawa banduan itu adalah orang yang dihantar ke sel pengasingan.

Terkejut dengan berita itu, Azman bertanyakan apakah punca kematiannya.

“Sarjan memberitahu saya, banduan itu mati tercekik ketika makan roti. Itu sahaja yang saya tahu,” kata Azman.

Pengarah Pendakwaan Sabah Muhammad Ilmami Ahmad bersama Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip, Nur Faezah Jafry dan Mas Izzaty Lokman hadir untuk pendakwaan.

Peguam PJ Perira, Dominic Chew dan Ariel Dasan mewakili Dzulfikri, Farizan, Saiful, Mutalib dan Zerry manakala peguam Hairul Vaiyron Othman mewakili Barry, Amran, Tommy, Shahryll dan Fazi.

Perbicaraan bersambung.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here