Kota Kinabalu: Seorang kontraktor yang menjalankan kerja kontrak berkaitan bekalan air di Sabah, berkata beliau memberi komisen RM1.35 juta setahun kepada bekas Pengarah Jabatan Air Ag Mohd Tahir Mohd Talib.
Wong Kok Vui @ Michael, 69, saksi ke-35 pihak pendakwaan, membacakan keterangan saksinya semasa pemeriksaan utama di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, berkata beliau memberikan wang tunai itu kepada Mohd Tahir sebanyak tiga kali berjumlah RM450,000 setiap kali.
“Saya mula memberi wang tunai itu kepada Mohd Tahir sejak 2004 hingga 2015 dan jumlah yang diterimanya kira-kira RM15 juta hingga RM16.2 juta. Ini hanya anggaran saya kerana saya tidak ingat jumlah sebenar.
“Semua wang yang saya berikan kepada Mohd Tahir adalah daripada tuntutan kerja-kerja sebut harga yang saya lakukan daripada Jabatan Air Negeri (JANS) bagi Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Kudat, Kota Marudu, Keningau, Tenom dan Tambunan,” kata Wong pada Rabu.
Wong juga mengesahkan bahawa beliau memberi komisen kepada Mohd Tahir sejak beliau menjadi Pengarah JANS pada 2003.
Menurut Wong, dia akan menghubungi Mohd Tahir sehari sebelum pertemuan mereka dan Mohd Tahir tahu tujuan pertemuan mereka adalah untuk memberikan wang tunai yang dimasukkan ke dalam plastik hitam sebelum diberikan kepada Mohd Tahir.
Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan Mohd Tahir, 58, isterinya, Fauziah Piut, 55 yang dibicarakan bersama Lim Lam Beng, terhadap 66 hingga 37 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta pemilikan barangan mewah yang menyalahi undang-undang.
Wong seterusnya berkata, selepas Mohd Tahir tiba di tempat letak kereta di Sutera Golf di mana mereka selalu bertemu, Wong akan menghampiri kenderaan Mohd Tahir dan memasukkan plastik berisi wang tunai ke dalam keretanya.
“Saya akan beritahu dia, ‘bos ini ada RM450,000’. Jika ada masa, kami akan minum di kafé Sutera Golf tetapi kadang-kadang kami terus balik.
“Apabila kami minum bersama, kami tidak pernah bercakap mengenai pembahagian wang atau peratusan atau bayaran komisen. Kami selalu berbual sambil minum kira-kira 20 minit sahaja,” kata Wong.
Katanya lagi, komisen yang diberikannya kepada Mohd Tahir adalah untuk 'balasan terima kasih' kerana dia (Mohd Tahir) memudahkan dia mendapatkan kerja kontrak daripada JANS kerana dia adalah pengarah yang mempunyai kuasa meluluskan peruntukan untuk semua bahagian dan daerah di Sabah.
"Jika saya tidak memberikan wang tunai itu, kemungkinan besar saya tidak akan mendapatkan kerja-kerja kontrak di jabatan air," kata Wong.
Menurut Wong, dia tidak merekod atau menyenaraikan semua bayaran komisen yang diberikannya kepada Mohd Tahir.
Wong turut memberitahu mahkamah bahawa Mohd Tahir tidak mempunyai sebarang pelaburan atau usahasama dalam perniagaan mana-mana syarikat yang dikendalikannya (Wong).
Sementara itu, Timbalan Pengurus KWSP Kota Kinabalu Paul Sibining, 53, mengesahkan Mohd Tahir, Fauziah dan Lim telah mencarum dalam KWSP dari 2000 hingga 2022.
Paul, saksi pendakwaan ke-34, berkata Mohd Tahir telah mengeluarkan wangnya kira-kira RM32,500 daripada KWSP pada 2001 dan selepas itu terdapat wang yang dimasukkan ke dalam akaun KWSP-nya bermula dari 2002 hingga 2017.
Bagi Fauziah, Paul berkata terdapat pengeluaran wang berjumlah RM176,628.05 daripada akaun KWSP Fauziah dan selepas pengeluaran itu, tiada baki dalam akaun KWSP-nya dan tiada wang dimasukkan selepas itu.
Bagi Lim, Paul memberitahu mahkamah bahawa baki caruman KWSP Lim pada 2015 ialah RM24,234.26 dan terdapat wang yang dimasukkan sebanyak RM10,754 ke dalam akaun KWSP-nya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, sementara Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh peguam Priskila Akwila Sinem.
Lim diwakili oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Aaron Lau. Perbicaraan bersambung.