LAHAD DATU: Masyarakat perlu bijak dalam menilai dan memilih bahan berita yang dikongsikan di media sosial atau laman sesawang agar tidak terpengaruh dengan berita tidak benar, kurang tepat dan boleh menyebabkan kekeliruan.
Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu, Hendry Nurdin berkata, masyarakat disajikan dengan berita dan informasi dari pelbagai sumber, bagaimanapun tidak semua maklumat tersebut benar dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.
Katanya, sebilangan besar berita seperti itu mempunyai bahan berita yang sensasi dan mempunyai fungsi sebagai ‘click bait’ bagi sesebuah laman sesawang.
“Kaedah ini bertujuan agar orang ramai mengunjungi laman sesawang berkenaan dan mereka mendapat keuntungan daripada iklan yang terdapat di laman sesawang itu.
“Masyarakat harus lebih peka mengenai berita-berita yang diterima melalui media sosial atau laman sesawang yang tidak dikenali kerana ia mungkin mempunyai fakta kurang tepat atau diputarbelitkan untuk kepentingan peribadi individu tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Hendry, orang ramai juga perlu berhati-hati ketika membuat sebarang hantaran di media sosial.
Katanya, dalam meraih perhatian ketika memuat naik isi kandungan di media sosial, semua individu terutama golongan remaja seharusnya tidak melupakan prinsip asas, norma masyarakat dan agama.
Tegasnya, tindakan memuat naik sebarang gambar atau hantaran berbaur provokasi atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan lain-lain hanya akan memecahbelahkan masyarakat.