Sat, 13 Jun 2026
Headlines:
Minta bayaran segera lebih US$16 billion sedangkan prosiding kes masih berjalan. Tuntutan Sulu melampau: AGC
Published on: Sunday, June 04, 2023
Published on: Sun, Jun 04, 2023
By: Bernama
Text Size:
Text:
Minta bayaran segera lebih US$16 billion sedangkan prosiding kes masih berjalan. Tuntutan Sulu melampau: AGC
“Dalam hal ini, adalah melampau bagi penuntut untuk membuat tuntutan bayaran bagi Final Award yang dikatakan itu sedangkan prosiding undang-undang masih lagi berlangsung,” menurut AGC.
PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menyelar dengan tegasnya segala dakwaan dalam surat yang dihantar oleh Paul H. Cohen, peguam kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (penuntut Kumpulan Sulu) yang membuat tuntutan terhadap kerajaan Malaysia.

AGC dalam kenyataan berkata surat bertarikh 28 Mei lepas yang ditujukan kepada Peguam Negara diterima sehari selepas itu (29 Mei).

Advertisement
Menurut AGC, surat itu menuntut bayaran segera iaitu sebelum 2 Jun 2023, bagi Final Award yang dikatakan berjumlah US$16.412 bilion termasuk 10 peratus faedah, US$3,502,394.24 bagi bayaran peguam dan ahli pakar serta US$4,026,592.64 bagi kos timbang tara.

“Dalam hal ini, adalah melampau bagi penuntut untuk membuat tuntutan bayaran bagi Final Award yang dikatakan itu sedangkan prosiding undang-undang masih lagi berlangsung,” menurut AGC.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Jabatan itu berkata kesemua dakwaan oleh Paul dalam surat itu sama sekali tidak benar dan secara terang-terangan tidak mengendahkan fakta sebenar tuntutan (oleh penuntut) yang tidak dapat disangkal lagi akan mewujudkan rekod bertulis bagi perkara yang tidak benar, yang bertujuan untuk digunakan terhadap Malaysia.

Menurut AGC surat itu juga mendakwa antara lain bahawa kerajaan Malaysia dengan sengaja telah gagal untuk mematuhi Final Award yang dikatakan itu dan telah membuat dakwaan keterlaluan terhadap penimbang tara yang dikatakan itu, Dr Gonzalo Stampa dan tindakan-tindakan yang diambil oleh Stampa.

Advertisement
Selain itu, AGC berkata kandungan surat itu memberi gambaran yang tidak tepat dan memfitnah kerajaan Malaysia berhubung tindakan undang-undang yang diambil dalam menangani tuntutan berkenaan.

“Kerajaan Malaysia menafikan sepenuhnya semua dakwaan dan sindiran yang dibuat di dalam surat itu,” menurut kenyataan itu.

Advertisement
AGC berkata kerajaan Malaysia dengan tegasnya membantah Final Award dan mengekalkan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf kesemua tindakan yang diambil oleh Stampa dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu, serta semua keputusan dan award yang dikeluarkan olehnya yang tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut AGC, berdasarkan dakwaan palsu yang telah dibuat pada 31 Mei lepas, kerajaan Malaysia melalui Peguam Negara telah menjawab surat itu yang menyatakan dengan jelas fakta-fakta berhubung tuntutan berkenaan yang tidak boleh dipertikaikan.

Selain itu, satu laporan polis telah dibuat pada 1 Jun lepas terhadap Paul atas kenyataan dan dakwaan tidak adil yang dibuat terhadap Peguam Negara.

“Tindakan ini membolehkan siasatan yang sewajarnya dijalankan bagi apa-apa kesalahan jenayah yang dibuat di bawah undang-undang Malaysia,” menurut kenyataan itu.

AGC berkata kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan berkenaan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan serta kedaulatan negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Kumpulan penuntut berkenaan sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara itu kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan pada 28 Feb 2022 penimbang tara Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan dikatakan membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Stampa telah mengeluarkan final award sebanyak US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia dan Malaysia telah menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkan anugerah yang diberikan oleh Stampa kepada pihak yang menuntut di mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan terhadap penguatkuasaan award itu yang diperoleh Kerajaan Malaysia di Perancis pada 12 Julai 2022. Oleh itu, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan award berkenaan adalah kekal. 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here