Kota Kinabalu: Sebahagian besar Jawatankuasa Parti Warisan Bahagian Kota Kinabalu pada Ahad mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Kumpulan yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Hajiji di kediamannya di Sri Gaya itu diketuai oleh Adun Petagas merangkap Ketua Bahagian Tanjung Aru Gagasan Rakyat, Datuk Awang Ahmad Sah dan Setiausaha Bahagian Tanjung Aru Gagasan Rakyat, Judy Hiew.
Dalam satu kenyataan, di sini, Ahad, kumpulan itu berkata pilihan raya umum telah berakhir dan rakyat telah memutuskan melalui undi mereka untuk kerajaan
Persekutuan dan Negeri membentuk Kerajaan Perpaduan, dan keutamaan pertama adalah menyokong penuh Kerajaan Perpaduan kerana ia memberi tumpuan kepada tadbir urus.
Mereka berkata sebelum ini, ramai yang menderita akibat pandemik Covid-19, tetapi keadaan telah bertambah baik dan pasaran telah mula dibuka semula.
“Sebarang perbalahan politik harus dihentikan sehingga penggal penuh selesai.
“Orang ramai kini boleh terlibat dalam perniagaan dalam iklim politik yang stabil, dan mereka juga bosan dengan ketidakstabilan negara yang disebabkan oleh perselisihan politik,” kata mereka.
“Semasa pertemuan kami dengan Ketua Menteri, beliau berkata dengan jelas bahawa beliau sedang bekerja keras untuk menyelesaikan isu air masin di Sandakan dan memastikan orang ramai mendapat akses kepada air bersih.
“Pada masa sama, beliau mahu menarik lebih banyak pelaburan asing bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan memastikan belia tempatan tidak berhijrah ke Semenanjung atau ke luar negara untuk bekerja.
“Ketua Menteri juga berkata beliau akan melakukan segala yang terdaya untuk menjadikan Sabah tempat yang lebih baik dan lebih makmur,” tambah mereka.
Antara yang mengumumkan keluar daripada Bahagian Warisan Kota Kinabalu ialah Ahli Majlis Tertinggi Warisan merangkap Timbalan Ketua Warisan Kota Kinabalu Nicholas Chak, Naib Ketua Warisan Kota Kinabalu Dato’ David Chong, Ketua Wanita Warisan Kota Kinabalu merangkap Ketua Cawangan Likas Barat Faridah Wasli, Wira Timbalan Ketua Warisan merangkap Ketua Wira Kota Kinabalu Maxxy Loo, dan ahli Jawatankuasa Warisan Kota Kinabalu Norsham Wasli, Nurul Akmal, Yim Woei Cherng, Timothy Hill, Rickcy Lim, Jack Chin, Christiana Yong, Pungut Jouya, Mohd Khairul dan Nicholas Tan.