Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 44 tahun yang melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuannya, dijatuhi hukuman penjara 60 tahun dan lapan sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki itu selepas dia menukar pengakuan dan mengaku kepada empat pertuduhan terhadapnya pada Selasa.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu masing-masing dipenjara 12 tahun kerana melakukan kesalahan itu terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun dengan meletakkan kemaluannya pada kemaluan remaja itu pada Mac dan pada penghujung Julai 2021 di sebuah rumah di Beaufort.
Bagi pertuduhan ketiga, dia dipenjara selama 13 tahun lagi kerana mengulangi kesalahan sama dengan meletakkan kemaluannya pada kemaluan remaja yang sama serta memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa pada 12 Nov 2022, di tempat yang sama.
Bagi pertuduhan keempat, dia dipenjara 14 tahun lagi kerana melakukan kesalahan sama terhadap anak perempuannya berusia 16 tahun di tempat yang sama pada 15 Nov 2022.
Disebabkan hubungan lelaki itu dan mangsa, dia menerima tambahan hukuman penjara dua tahun ditambah dua sebatan bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga tetapi bagi pertuduhan keempat, mahkamah menjatuhkan hukuman tambahan penjara tiga tahun serta dua sebatan rotan.
Mahkamah memerintahkan hukuman bagi pertuduhan pertama hingga ketiga berjalan serentak tetapi berturut-turut dengan pertuduhan keempat, bermakna lelaki itu perlu menjalani hukuman penjara selama 32 tahun.
Kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani program pemulihan semasa dipenjara mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun setelah selesai menjalani hukuman.
Semasa rayuan, peguam P.J Perira yang mewakili lelaki itu, memberitahu mahkamah bahawa lelaki itu menanggung enam anak dan dia menyesal.
Perira memberitahu mahkamah bahawa lelaki itu adalah pesalah kali pertama dan meminta hukuman penjara berjalan serentak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dk Afiqah Alya Ak Johari menggesa hukuman berat dikenakan dan hukuman penjara dijalankan berturut-turut kerana semua pertuduhan dilakukan pada tarikh dan masa berbeza.
Dia juga menggesa mahkamah mempertimbangkan bahawa kedua-dua mangsa adalah anak perempuan lelaki itu yang sepatutnya lindunginya.