Kota Kinabalu: Pingat emas kedua pemain pingpong Sabah, Brady Chin Zi Rong dalam acara beregu T19, yang dimenangi bersama pasangannya Chee Chao Ming dari Perak pada malam Selasa lalu memastikan Malaysia mencapai sasaran 33 emas pada Sukan Para Asean di Phnom Penh, Kemboja.
Pasangan itu menewaskan gandingan Filipina, Linard Combras dan Benedicto Hernandez 11-8, 11-7, 11-6 pada perlawanan akhir.
Atlet Sabah turut menambah satu lagi emas dan dua perak pada Rabu dengan Ethan Khoo Yin Jun memecahkan rekod kejohanan dalam acara renang gaya bebas S14 untuk meraih emas dengan catatan masa 2:03.85s, sekali gus memadam rekod lamanya 2:05.25s.
Pingat perak dimenangi oleh Wong Kar Gee dalam acara lompat jauh T13 dan Heron Lee dalam acara lempar cakera F37.
Mereka telah menyumbang sejumlah 10 emas, enam perak dan tiga gangsa setakat ini.
Pingat emas terdahulu diraih oleh perenang Abd Halim Mohammad yang memenangi tiga dalam acara 100m gaya bebas S8, 100m kuak dada SB8 dan kuak lentang S8, atlet balapan dan padang Eddy Bernard yang merangkul dua dalam acara pecut 100m T44dan lompat jauh F44, Brady Chin dalam acara pingpong (kelas 9), Ethan Khoo Yin Jun dalam acara renang berganti-ganti S14 dan Doriah Paulus dalam acara lontar peluru F44.
Perak pula dimenangi oleh Amir Burhanuddin dalam acara badminton berpasukan SL4, Ethan Khoo Yin Jun dalam acara 100m kuak lentang
S14 dan 100m gaya bebas S14, Eljoe Gutuoh dalam acara lompat jauh T20, manakala gangsa disampaikan oleh Doriah Poulus dalam acara lempar cakera F44, Ethan Khoo dalam acara renang 100m SM14 dan Abd Halim/Jaflee Jikol dalam acara rampaian berganti-ganti 4 x100m SM8.