PITAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera seluruh badan, leher dan kepala kerana diserang sekumpulan tujuh ekor anjing liar di sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku pada jam 6.05 pagi di sebuah kawasan lapang, Jalan Mempakad Laut, di sini.
Zairol berkata, pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat banyak kesan gigitan dan cakaran anjing di seluruh anggota badan, bagaimanapun mangsa berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas.
Menurut Zairol, siasatan yang diperoleh daripada saksi kejadian mendapati anjing yang menyerang mangsa merupakan anjing liar yang sering berkeliaran di kawasan tersebut, namun difahamkan kejadian anjing liar menyerang manusia merupakan kejadian pertama kali berlaku di sana.
Katanya, pada Rabu, kira-kira jam 8.24 pagi, laporan polis dibuat pengadu menyatakan telah menyelamatkan dan merujuk seorang mangsa kanak-kanak lelaki lingkungan empat tahun ke Hospital Pitas akibat cedera diserang sekumpulan anjing liar.
“Pengadu merupakan orang awam yang melalui tempat kejadian bersama suaminya menaiki motosikal menuju ke Dataran Bengkoka, pengadu telah melihat beberapa ekor anjing anggaran enam atau tujuh ekor sedang menyalak, berkerumun serta sedang mengigit sesuatu.
“Pengadu kemudian menghampiri dan melihat seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian dan berlumuran darah sedang digigit oleh kumpulan anjing tersebut.
“Pengadu kemudian memanggil suaminya untuk menghalau kumpulan anjing dan mengangkat mangsa, dan terus menghantar mangsa ke Hospital Pitas untuk rawatan.
“Difahamkan semasa kejadian ibu mangsa telah keluar rumah dengan berjalan kaki untuk ke tempat kerja di Indah Chelat, manakala mangsa ditinggalkan di bawah jagaan neneknya, namun tanpa disedari, kanak-kanak itu telah menyusul ibunya dari belakang.
“Jarak perjalanan dari rumah mangsa ke indah Chalet kira-kira 300 meter manakala jarak tempat kejadian dari rumah mangsa adalah dalam 100 meter. Tempat kejadian adalah di kawasan lapang berhampiran dengan kawasan pembuangan sampah dan timbangan buah sawit.