Kota Kinabalu: Seorang pelukis pelan warga Indonesia pada Khamis didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki MyPR palsu.
Ahmad Djasmail, 41, mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie atas tuduhan memiliki dokumen pemastautin tetap (MyPR) palsu bernombor siri 821107-61-4663 di bawah namanya di kaunter Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, pada 2.15 petang Jun 6.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ahmad ditahan di premis berkenaan ketika membuat semakan kad pengenalan di tempat tersebut kerana mempunyai kad MyPR diragui sebagai dokumen pengenalan diri.
Semakan lanjut Jabatan mendapati nombor siri kad MyPR Ahmad tidak wujud dalam sistem JPN, kata mahkamah.
Pihak pendakwaan juga berkata bahawa Ahmad memiliki pasport Indonesia yang sah sebagai dokumen pengenalan diri.
Ahmad didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sehingga RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Ahmad dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas itu.
Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa JPN Mohd Naser Mohd Nadzeri.