TAWAU: Mayat seorang lelaki yang hilang dikhuatiri lemas dalam insiden bot karam di perairan Sg Melayu, Pulau Sebatik pada Jumaat, ditemui sekitar jam 7.30 pagi pada Sabtu - hari kedua Ops Carilamat dilancarkan.
Timbalan Pengarah Operasi,Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, mangsa yang dikenali sebagai Abdul Rahim Kasil,56,ditemui penduduk setempat di muara Sg Pukul, Pulau Sebatik.
Menurutnya, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Carilamat digerakkan ke lokasi penemuan bagi membawa mayat mangsa ke Pangkalan Hadapan Carilamat untuk tindakan pengecaman, susulan makluman penemuan mayat tersebut.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada Jumaat berikutan bot dinaiki pasangan suami isteri karam akibat perlanggaran dengan objek tenggelam seterusnya hilang kawalan dan merempuh kawasan bakau. Isterinya berjaya diselamatkan penduduk setempat.