Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 34 tahun didakwa merogol seorang remaja.
Fendey Sitah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, kepada pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.
Dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun itu pada jam 4.50 petang 28 Okt 2022 di sebuah bilik di Jalan Bundusan Villa, Penampang.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah melepaskan Fendey dengan ikat jamin RM10,000 berdeposit RM5,000 serta dua penjamin tempatan dengan alamat tetap dan pekerjaan tetap.
Fendey juga diperintah melaporkan diri di balai polis terdekat dan diberi amaran supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan, termasuk mangsa.
Mahkamah turut memerintahkan Fendey menyerahkan pasportnya, jika ada, kepada mahkamah sementara menunggu kesnya selesai.
Mahkamah menetapkan 10 Julai bagi pengurusan kes untuk mengemukakan dokumen, dan perbicaraan pada 22-23 Februari 2024.
Dalam kes lain, seorang pendatang tanpa izin dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Mahadil Nuldin mengaku kepada pertuduhan terhadapnya.
Dia ditahan pada 13 Mei tahun ini di kawasan Bandaraya selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis.
Mahkamah memerintahkan Mahadil menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
Selepas selesai hukuman penjara, mahkamah memerintahkan Mahadil dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk direkodkan data biometriknya sebelum dihantar pulang.