Kota Kinabalu: Seorang penganggur lelaki berusia 47 tahun, yang mengugut akan mencederakan ibu dan adik perempuannya kerana tidak diberi wang, dipenjara lapan bulan.
Edlan Jimluk mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie melakukan kesalahan itu kepada Kisfa Jimlok dan Kalsom Baih pada 2.30 petang 2 Jun di sebuah rumah di skim penempatan Telipok, Manggatal.
Mahkamah mendengar daripada pihak pendakwaan bahawa pada hari tersebut Edlan telah mengugut mangsa dan menghumban sebuah meja ke arah mereka. Pihak pendakwaan berkata, kejadian itu berlaku kerana ibu Edlan tidak memenuhi permintaannya untuk wang tunai.
Adik perempuan itu kemudian membuat laporan polis terhadap Edlan, yang mengamuk sehingga membahayakan nyawa keluarga itu, kata mahkamah.
Edlan kemudian ditahan pada 1.50 tengah hari 3 Jun selepas laporan dibuat.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Edlan, yang tidak diwakili peguam, meminta hukuman ringan dan memohon maaf kepada ahli keluarganya, selain mengatakan dia mempunyai isteri dan anak.
Edlan diperintahkan menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 22 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi
Penganggur, Mohd Elmay Emlani mengaku mencuri tiga gulung kabel milik Telekom Malaysia pada 10 malam 1 Jun lalu di hadapan Wisma Kewangan di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasukan polis bersama kakitangan operasi syarikat itu pergi ke tempat kejadian selepas menerima maklumat mengenai kecurian kabel bawah tanah di kawasan itu.
Polis menemui seorang lelaki, yang kemudian dikenal pasti sebagai Elmay, di dalam salah satu lurang milik syarikat itu, sedang memotong kabel manakala dua rakan subahatnya telah melarikan diri dari tempat kejadian.
Elmay kemudiannya ditangkap.
Elmay, yang diwakili peguam dilantik, memohon hukuman ringan kerana isterinya hamil enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit.