Kota Kinabalu: Mayat bayi baru lahir ditemukan terapung di perairan berhampiran Kampung Tanjung Aru Lama di sini Sabtu lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris berkata mayat bayi berkenaan ditemukan pada pukul 6.30 petang oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung itu.
“Pengadu ditanya oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun mengenai objek terapung yang dilihatnya, sama ada anak patung atau bayi.
“Setelah diperiksa lebih dekat, mereka mendapati ia adalah mayat bayi yang baru dilahirkan. Pengadu dengan bantuan penduduk berhampiran kemudian menghubungi polis,” katanya.
Kalsom berkata, polis mengesyaki bayi itu dibuang ke laut sejurus selepas dilahirkan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Insp Hatikah Ahmad @ Abd Ghani di talian 016-8337243,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.