Kota Kinabalu: Empat termasuk seorang ‘Datuk’ dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman empat hari Isnin lepas berikutan laporan awam kumpulan itu cuba menjadi broker dalam urus niaga berkaitan projek Perindustrian Minyak dan Gas Kudat (KOGIP).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata bukan sahaja kumpulan itu tidak ada kebenaran, malah projek itu belum dibuka untuk tender lagi.
“Bagaimanapun, tiada seorang pun di Sabah menjadi mangsa penipuan dalam kes ini. Kumpulan itu termasuk wanita mempunyai rekod jenayah yang serupa yang dilakukan di negeri lain.
“Individu berusia 40 hingga 60 tahun itu adalah bukan warga Sabah yang modus operandinya menyasar penduduk tempatan dan menawarkan projek sambil mengutip deposit sebagai bayaran pemprosesan.
“Justeru, kontraktor digesa tidak membuat sebarang pembayaran sehingga benar-benar yakin projek itu sah. Kami menerima banyak laporan kerugian dengan cara ini,” katanya.
Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.