Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 54 tahun pada Selasa dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau enam bulan penjara selepas didapati bersalah membakar rumahnya di Kota Belud, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus dalam mensabitkan kesalahan Sedin Mertin, memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.
Sedin, seorang penganggur, didapati bersalah melakukan khianat dengan membakar rumah itu pada 9 pagi 4 Ogos 2021 di Kg Kuala Abai di Kota Belud.
Elsie memerintahkan Sedin, yang diikat jamin, menjalani hukuman penjara mulai Selasa.
Dalam menjatuhkan hukuman itu, Elsie memutuskan bahawa Sedin telah melakukan kesalahan yang sangat serius kerana dia membakar rumah itu ketika isteri dan anak-anaknya berada di dalam rumah tersebut.
Sedin pada 8 Sept 2021 meminta dibicarakan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan itu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Peguam Khairudin Noordin, yang mewakili Sedin, memohon hukuman ringan atas sebab antaranya ia kesalahan pertamanya dan dia kini sedang dirawat akibat kecederaan di kepala di hospital.
Pihak pembelaan juga memohon untuk tidak mengenakan denda dengan berhujah bahawa denda tidak wajib.
Mahkamah juga dimaklumkan oleh peguam bela bahawa rumah itu sebenarnya milik Sedin dan bukan isterinya, dan ia telah dibaiki tetapi tidak dihuni kerana isteri dan anak-anaknya tinggal di tempat lain.
Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin mendesak agar hukuman berat dijatuhkan sebagai pengajaran kepada Sedin dan bakal pesalah lain.
Tham berhujah bahawa kesalahan yang dilakukan Sedin adalah satu kesalahan sangat berbahaya yang boleh mengancam atau membahayakan nyawa orang ramai.
Tham berkata, kesemua harta benda telah musnah dan ahli keluarga yang berada di tempat kejadian mengalami trauma.
Enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.