Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 73 tahun yang sengaja mencederakan anak lelakinya dengan pisau, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM1,000 atau penjara dua bulan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu kepada Osman Donato yang mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Osman telah menyerang Mohd Fezil Osman Abdullah dengan menggunakan pisau itu pada 1 pagi 28 Mei tahun ini di Mondikot Deer Camp di Papar.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Osman menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
Dalam menjatuhkan hukuman itu, mahkamah telah mengambil kira pengakuan bersalah dan rayuan, fakta kes serta kenyataan impak mangsa, termasuk kecederaan yang dialami oleh tertuduh.
Mahkamah juga mempertimbangkan anteseden tertuduh sebagai seorang lelaki berusia 73 tahun yang tidak mempunyai rekod sabitan lampau, dan kepentingan awam agar kes itu diambil sebagai pengajaran dan pencegahan bagi tertuduh serta orang awam.
Semasa rayuan, Osman yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan dengan mengatakan bahawa dia sudah tua dan semasa kejadian, dia berada dalam keadaan mabuk.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada Osman tetapi secara umum.
Mahkamah mendengar kejadian itu berlaku apabila berlaku pertengkaran antara Osman dan anaknya itu selepas sesi minum arak.
Ketika bertengkar, Osman yang mabuk ketika itu, mengambil pisau dan cuba menikam anaknya yang juga mabuk.
Bagaimanapun, salah seorang ahli keluarga mereka yang turut berada di situ ketika itu, sempat menolak anak tertuduh untuk mengelak tikaman itu tetapi pisau itu mengenai belakang kiri anaknya.
Selepas kejadian itu, Osman telah melarikan diri dari rumah dan ahli keluarga menghantar anaknya ke hospital untuk rawatan lanjut.
Osman ditahan selepas laporan polis dibuat.