TAWAU: Kemajuan fizikal Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tawau bagi Fasa 1A - Pakej 3 dan Pakej 4 kini mencapai 46 peratus.
Projek itu dilaksanakan di tapak bermula tahun 2019 dan dijangka siap pada 2024.
Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui berkata, perkara itu dinyatakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam jawapan kepada pertanyaan lisan beliau ketika berlangsungnya Sidang Parlimen, baru-baru ini.
Menurutnya, menteri itu memaklumkan bahawa pihak kontraktor sedang giat menjalankan kerja-kerja pembinaan di tapak dan pemantauan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sabah.
“Secara keseluruhannya, projek ini akan memberi manfaat kepada 8, 000 penduduk terjejas akibat bencana banjir,” katanya.
Lo berkata, beliau meminta menteri berkenaan menyatakan status kemajuan projek itu yang diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke -11 (RMK11) Pakej 3 dan 4.
Mengulas lanjut, Lo berkata, projek itu amat penting kepada daerah Tawau, khususnya penduduk sekitar yang selama ini ‘dihantui’ kebimbangan terhadap aspek keselamatan diri dan harta benda, khususnya setiap kali hujan turun.
Malah, projek tersebut menjadi antara isu utama yang sering dibangkitkan para pemimpin dari daerah ini ketika sidang Dewan Rakyat.
Ini kerana, katanya, mereka mahu melihat projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual, sekaligus memberi manfaat kepada rakyat.
Tambahnya, banjir besar yang berlaku apabila hujan lebat berterusan mengundang pelbagai implikasi negatif bukan hanya keselamatan penduduk tetapi juga sosio-ekonomi.