LAHAD DATU: Enam cedera dalam kemalangan membabitkan Perodua Bezza, Nissan Grand Livina dan Proton Persona di Jalan Sri Perdana, di sini, Jumaat malam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dalam kenyataan berkata, lima daripada mangsa yang cedera adalah pemandu dan penumpang Perodua Bezza manakala seorang lagi merupakan pemandu Nissan Grand Livina.
Pemandu dan dua penumpang Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki jentera bomba dan kenderaan EMRS sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8.42 malam melalui MERS999.
Sejurus tiba, kesemua mangsa telah dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.
“Pasukan kemudian memeriksa tempat kejadian dan menamatkan operasi jam 9.32 malam selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di tempat kejadian,” tambah kenyataan itu.