RANAU: Seorang pendaki wanita tempatan berusia 38 tahun terpaksa dibawa turun dari Gunung Kinabalu selepas mengalami terseliuh kaki kiri pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian berlaku di Kilometer 6.1 Gunung Kinabalu, kira-kira 100 meter dari bilik kawalan Pasukan Mencari dan Menyelamat (MoSAR) Gunung Kinabalu.
“Kami menerima panggilan berhubung kejadian ini kira-kira jam 9.30 pagi melalui talian balai dan sepasukan lima anggota penyelamat diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Niel Thomson bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi bersama dua kakitangan Taman-Taman Sabah dan seorang malim gunung, kami menemukan seorang pendaki di bawah jagaan pemandu mendaki, terseliuh dan cedera kaki kiri ketika turun.
“Wanita itu tidak dapat meneruskan perjalanan turun, jadi dia diberi rawatan awal sebelum dibawa turun ke Pintu Timpohon menggunakan Robinson Stretcher,” katanya.
Menurut Ridwan, operasi menyelamat mengambil masa kira-kira 6 jam, sebelum tiba di Pintu Timpohon, dan operasi tamat pada 2.54 petang.
Tambahnya, kes pada Ahad itu menjadi kes ketiga bagi Jun tahun ini dan ia juga menandakan pendaki ke-26 yang sakit atau cedera di Gunung Kinabalu setakat tahun ini.
Pada Januari, dua pendaki pada Februari (5), Mac (8), April (5) dan Mei (3) mengalami pelbagai kecederaan ketika mendaki Gunung Kinabalu.
Ridwan mengulangi nasihatnya kepada bakal pendaki agar menilai tahap kesihatan sebelum mendaki Gunung Kinabalu.
Beliau berkata, perlu ada persiapan mental dan fizikal, dan hanya bawa barang yang sesuai dan perlu sahaja.
Beliau turut menasihati pendaki yang mendaki Gunung Kinabalu supaya lebih berhati-hati semasa musim hujan kerana permukaan tanah dan batuan lebih licin berbanding ketika cuaca biasa.
“Sentiasa mendaki dalam kumpulan, jangan berjalan sendirian dan pastikan anda memberi perhatian kepada nasihat pemandu kami.
"Ini amat penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.