Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, pada Selasa, mengeluarkan arahan tegas kepada semua ketua jabatan dan pegawai daerah di Sabah supaya mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di negeri itu.
Beliau berkata dengan baki enam bulan lagi menjelang akhir tahun ini, beliau mahu semua ketua jabatan dan pegawai daerah mengambil perhatian terhadap isu yang menghalang pelaksanaan sambil melakukan yang terbaik untuk menyiapkan projek pada tahun ini.
“Saya mahukan laporan kemajuan terperinci pada mesyuarat MTPN (Majlis Tindakan Pembangunan Negeri) seterusnya pada September ini,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut di Menara Kinabalu, dekat sini, Selasa.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya serta Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew; Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong serta Pengarah Pembangunan Sabah Samsul Dollah.
Sabah telah diperuntukkan RM6.05 bilion dalam Belanjawan Negara tahun ini, yang ketiga tertinggi selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor, namun di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12, hanya 21.61 peratus daripada 1,181 projek untuk Sabah telah dilaksanakan.
Dengan masa yang semakin suntuk, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri mencadangkan penubuhan dana amanah di mana peruntukan yang tidak digunakan tahun ini boleh disimpan dan digunakan untuk tahun akan datang.
Mesyuarat itu dimaklumkan bahawa di bawah data MyProjek setakat 12 Jun tahun ini, kira-kira 141 projek di bawah RM50 juta berjumlah keseluruhan bernilai RM1.6 bilion akan diserahkan kepada kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Dalam hal ini, Hajiji menggesa semua ahli jawatankuasa MTPN mengambil iktibar dan melakukan perkara yang perlu untuk memastikan semua projek yang dirancang berjalan lancar.
“Sepatutnya tiada lagi alasan untuk menunggu kelulusan daripada kerajaan Persekutuan sebagai punca projek tertangguh. Rakyat dan kerajaan akan rugi jika berlaku kelewatan dalam melaksanakan projek yang diluluskan,” katanya.
Beliau juga menggesa pelbagai ketua jabatan dan pegawai daerah supaya merealisasikan agenda sifar miskin tegar menjelang akhir tahun ini seperti yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mahu semua pegawai daerah turun padang dan mengesahkan butiran mereka yang dikategorikan sebagai miskin tegar di kawasan masing-masing. Kami mahu status sebenar mereka direkodkan,” katanya.
Ketua Menteri turut menggesa jabatan berkaitan yang dibebani “projek sakit” untuk menamatkan perkhidmatan kontraktor tidak berprestasi yang menghalang penyiapan projek.
Antara projek sakit ini ialah projek di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.