Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 34 tahun yang merogol anak tirinya dua kali, dipenjara 22 tahun serta 20 kali sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas lelaki berkenaan yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya pada Selasa.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan diperintah dikenakan 10 kali sebatan kerana merogol remaja perempuan berusia 14 tahun dan dua bulan itu pukul 6 petang, 22 April tahun ini di sebuah rumah di Papar.
Untuk pertuduhan kedua, dia dihukum penjara 12 tahun lagi serta 10 kali sebatan kerana merogol mangsa sama jam 3 pagi, 20 Mei tahun ini di dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah rumah di Lok Kawi, Papar.
Perbuatan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, dan sebatan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan lelaki terbabit menjalani hukuman penjara berturut-turut dan selepas menjalani hukuman penjara, dia diperintahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Kenderaan yang dirampas akan dikembalikan kepada pemilik sah oleh polis.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, mahkamah berkata ia merupakan kesalahan serius dan tertuduh telah beberapa kali melakukan kesalahan rogol terhadap mangsa sehingga menyebabkan mangsa trauma.
Mahkamah bersetuju dengan pendakwaan bahawa kejadian ini tidak boleh dimaafkan dalam apa cara sekalipun.
Mahkamah menambah menjadi tanggungjawab besar sebagai bapa tiri untuk melindungi mangsa daripada sebarang bahaya dan tidak mengambil kesempatan ke atasnya.
Mahkamah berharap hukuman itu akan menjadi pengajaran dan pencegahan kepada tertuduh dan orang ramai.
Terdahulu semasa mitigasi, lelaki yang tidak diwakili itu merayu hukuman ringan dengan mengatakan dia mempunyai isteri dan anak kecil untuk dijaga.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia benar-benar menyesali kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Lelaki itu juga meminta hukuman dijalankan serentak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Najihah Farhana Che Awang menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap lelaki itu atas alasan ia merupakan kesalahan serius membabitkan bapa tiri yang sepatutnya melindungi mangsa daripada sebarang kecederaan atau trauma dan bukannya mengambil kesempatan ke atasnya.
Nur Najihah berhujah mangsa terpaksa hidup dengan trauma apabila dirogol bapa tirinya sendiri sepanjang hidupnya.
Beliau menambah kejadian ini tidak boleh dibayar pampasan dalam apa cara sekalipun dan juga tidak boleh dimaafkan dalam apa cara sekalipun untuk melepaskan mangsa daripada trauma yang dialaminya.