Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan menyediakan dua kapal tenaga untuk menstabilkan bekalan elektrik di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kapal tenaga itu akan disediakan di Sandakan dan Lahad Datu sebagai salah satu inisiatif bagi mengelak kejadian teknikal elektrik yang serius di negeri ini.
Menurut Menteri Kerja Raya itu, beberapa minggu lalu terdapat keadaan di mana bekalan elektrik telah hampir mencapai tahap maksimum daripada jumlah yang boleh dibekalkan oleh grid elektrik di Sabah.
“Jadi apabila itu berlaku maka pihak SESB terpaksa melakukan catuan tenaga bagi memastikan bahawa ada margin selamat dalam sistem grid pada bekalan elektrik bagi mengelak berlakunya kejadian teknikal yang lebih serius.
“Pihak SESB dan kerajaan Sabah juga sedang menambah kapasiti bekalan elektrik melalui janakuasa mudah alih dan yang terbaharu kita akan datangkan dua buah kapal tenaga atau power ship untuk kita sediakan di Sandakan dan Lahad Datu.
“Adanya kapal tenaga dan janakuasa ini maka sumber tenaga yang dibekalkan ke sistem grid elektrik Sabah akan berada dalam keadaan sihat, maka infrastruktur dari segi tenaga dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu Khamis lepas.
Sementara itu, ketika ditemui media beliau memaklumkan bahawa kapal tenaga itu akan tiba dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.
“Apabila kapal tenaga itu beroperasi, ia akan menghasilkan tenaga maka margin lebih 200 megawatt akan dapat dicapai dan sudah tentu ia akan memberi keyakinan dan juga keselesaan terhadap bekalan elektrik.
“Untuk di sebelah Pantai Barat kita mempunyai loji janakuasa namun di Sandakan dan Lahad Datu adalah kawasan yang memang memerlukan tambahan bekalan elektrik untuk memastikan aktiviti ekonomi di kawasan itu dapat dijalankan tanpa gangguan,” katanya.